
Manifesto Perikatan Nasional juga akan membela nasib penoreh getah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selepas berjaya menghapuskan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion sebelum ini bagi meringankan beban ditanggung, Perikatan Nasional (PN) menawarkan janji untuk membantu penoreh getah yang terjejas.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata komitmen untuk membantu penoreh getah khususnya di luar bandar adalah fokus utama gabungan tersebut selepas kejayaan memulihkan peneroka Felda sebelum ini dapat dilaksanakan walaupun untuk tempoh yang singkat menjadi kerajaan.
“Lihat proses pemulihan Felda, itu satu contoh saja. Penduduk kat sini (Pendang) ramai penoreh getah.
“Baca dalam hal yang berkaitan dengan soal penoreh getah, apa dia? Saya nak baca sini, ini komitmen kerajaan Perikatan Nasional, meningkatkan harga lantai getah pada kadar yang berpatutan dan akan disemak secara berkala untuk menjaga kebajikan penoreh getah,” katanya semasa program Tawaran PNBEST di Pendang malam tadi.
Menurut Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu, kejatuhan harga getah sememangnya memberi kesan yang besar kepada penoreh sehingga menyebabkan mereka menjadi lebih miskin apabila terpaksa berdepan dengan situasi tersebut.
“Harga getah sudah jatuh dan sebab itu penoreh getah kita berhadapan dengan pendapatan yang merosot mungkin sebahagian besar pun mereka ini sudah pun miskin.
“Tetapi sudah jadi miskin, tegar ataupun papa kedana. Ada pendapatan tapi tak memadai,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, langkah meletakkan harga lantai yang dianggap munasabah akan dapat mengelakkan penoreh getah mampu berdepan dengan cabaran walaupun sekiranya harga getah dunia jatuh merudum sekalipun.
“Sekiranya Perikatan Nasional menang maka kita akan letakkan paras lantai yang lebih tinggi kalau harga dunia jatuh ke mana pun kerajaan akan letakkan harga lantai yang munasabah.
“Supaya pendapatan para penoreh getah tidak akan merudum jatuh disebabkan oleh kadar harga getah antarabangsa sudah menurun,” terangnya lagi.
Untuk rekod, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, langkah drastik yang ditunaikan kepada peneroka adalah dengan menghapuskan hutang mereka yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion bagi meringankan bebanan hutang yang selama ini terpaksa ditanggung mereka ekoran perancangan haru-biru kerajaan Barisan Nasional (BN).