PN adalah kuasa ketiga yang rakyat boleh pilih: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Perikatan Nasional (PN) merupakan kuasa ketiga dalam pentas politik negara yang boleh dijadikan pilihan rakyat sekiranya mereka tidak mahu menyokong parti pembangkang dan UMNO-Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata gabungan tersebut adalah kuasa ketiga yang mampu menjadi pilihan terbaik buat rakyat jika mereka tidak mempunyai pilihan, ia memandangkan terdapat pengundi yang kecewa dengan parti pembangkang kerana gagal menunaikan sementara UMNO pula terpalit dengan rasuah.

“Baru-baru ini sudah ada berlaku satu perubahan politik senario yang baru, dahulu kalau nak pilih hanya ada UMNO ataupun DAP ataupun mana-mana parti sebelah sana.

“Sebab itu orang-orang yang sudah jadi orang UMNO tak suka-suka muka macam mana pun sokong UMNO juga. Nak buat macam mana? Takkan nak sokong DAP. Sekarang ini Perikatan Nasional sudah ada di sini sebagai kuasa ketiga, third force dan pilihlah Perikatan Nasional,” katanya semasa ceramah di Endau, Mersing semalam.

Muhyiddin berharap pengundi Johor agar memberi kepercayaan PN sebagai pilihan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi membawa perubahan yang lebih baik kepada pembangunan negeri tersebut.

“Takkan tuan-tuan tak percaya saya, lahir di Johor, karier politik saya juga kerana sokongan orang-orang Johor.

“Sekarang ini saya nak minta orang Johor sokong saya supaya Perikatan Nasional menang supaya dapat bentuk kerajaan negeri,” katanya lagi.

PRN Johor menyaksikan sebanyak 15 parti politik bertanding melibatkan tiga gabungan besar iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH selain penyertaan kali pertama parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Turut bertanding PSM dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) dengan masing-masing hanya satu kerusi selain terdapat 16 calon Bebas.

Esok, pengundi Johor akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih pada PRN Johor kali ini.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR