PM tak boleh buat keputusan sendiri bila PRU, parti akan beritahu: Khaled

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan tarikh untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tanpa merujuk kepada kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata parti yang akan memaklumkan kepada Perdana Menteri (PM) bila masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Menurutnya adalah menjadi tanggungjawab parti untuk memberitahu masa yang sesuai mengadakan pilihan raya setelah memperoleh maklumat daripada akar umbi yang mengukur kekuatan pembangkang.

“Kerana kalau pilihan raya diadakan, parti yang akan bekerja. Kalau katakanlah hari ini Perdana Menteri alih-alih bubar Parlimen dan parti tidak bersedia… mana ada pegawai kerajaan nak menangkan Perdana Menteri dalam pilihan raya.

“Dia mesti parti. Parti yang tahu… parti yang beritahu. Tak bolehlah Perdana Menteri alih-alih bangun, alih-alih kata saya nak buat pilihan raya, ataupun saya tak nak buat pilihan raya. Dia mana tahu,” katanya pada Wacana Minda Pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan desakan perwakilan UMNO pada PAU kali ini yang mahu PRU-15 diadakan segera, setelah melihat momentum bahawa rakyat telah kembali menyokong UMNO, khususnya menerusi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor.

Oleh itu, katanya jika perwakilan pada PAU sekarang ini yang mewakili akar umbi telah bersuara mengenai PRU-15 bermakna mereka telah bersedia untuk menghadapinya.

“UMNO telah berjaya dalam PRN di Melaka dan juga di Johor. Satu perkara yang harus difahami ialah pilihan raya di Melaka dan Johor itu diadakan kerana masa amat sesuai untuk diadakan. Jadi kemenangan itu memang akan menjadi momentum, tetapi tentulah ada juga faktor-faktor lain yang akan menjadi asas sama ada akan diadakan PRU ataupun tidak.

“Sudah tentulah pada PAU kali ini yang diadakan sebaik sahaja PRN Johor diadakan… dan hanya baru beberapa bulan yang lepas kita melalui PRN Melaka… maka apabila ianya diadakan dalam waktu yang sangat dekat selepasPRN Johor… maka sudah tentulah tak masuk akal kalau ianya tak disebut dalam setiap perbahasan yang dibuat oleh perwakilan.

“Perwakilan UMNO bukanlah orang yang baru dalam politik. Mereka sangat lama bersama parti. Mereka berpengalaman. Mereka juga mempunyai kematangan dan juga mampu untuk membuat penilaian.

“Jadi atas sebab itulah tak betul jika ada mana-mana pihak yang cuba nak menutup pandangan, pendirian ataupun kenyataan ataupun apa-apa perbahasan yang dibuat oleh mereka. Kita setuju tak setuju soal lain,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR