
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selepas berakhir tempoh 60 hari tanpa sebarang jawapan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO jangka Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) akan memberi keputusan muktamad terhadap permohonan pindaan Perlembagaan mereka dua minggu lagi.
Sepatutnya keputusan RoS berhubung permohonan UMNO meminda Perlembagaan parti untuk menangguhkan pemilihan diketahui pada 16 Julai (semalam), bagaimanapun setakat ini tidak ada sebarang maklum balas diberikan daripada agensi tersebut.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata sepatutnya RoS sudah meluluskan permohonan mereka kerana sudah mengikut setiap prosedur yang ditetapkan, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyokong pindaan tersebut semasa Perhimpunan Agung Khas UMNO yang lalu.
“Selain itu, pada saya sudah menjadi hak sesuatu pertubuhan untuk lakukan apa yang terbaik untuk anggotanya yang mempunyai keahlian 3.4 juta orang.
“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga memberi sokongan dua pertiga ketika pindaan itu disebut. Saya kira RoS yang mengawal selia pendaftaran pertubuhan sepatutnya tahu apa yang terbaik untuk pertubuhan itu,” katanya dipetik laporan BH.
Ahmad atau Mat Maslan diwawancara dalam program yang disiarkan secara maya bertajuk ‘UMNO, Apa Cerita RoS?’.
Menyentuh mengenai penangguhan pemilihan parti, Ahmad berkata, UMNO adalah sebuah parti yang besar dan berpandangan ia akan mengganggu proses pilihan raya yang sudah dibuat.
“Kita sudah melatih hampir lima tahun, semua ketua pemuda dan wanita untuk berdepan dengan pilihan raya, jadi sekiranya pemilihan dilakukan, maka semua nanti orang-orang baru.
“Akhirnya Majlis Tertinggi buat keputusan perlu pinda perlembagaan supaya lebih selamat. Mungkin ini juga akan menjadi trend kepada parti lain untuk buat pemilihan selepas pilihan raya kerana ini akan wujudkan kestabilan parti berkaitan,” jelasnya lagi.
UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU), untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.