
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Perbincangan bagi membubarkan Parlimen perlu juga melibatkan semua politik yang berada dalam kerajaan, kata Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata kerajaan yang terbentuk sekarang bukan sahaja melibatkan satu parti tetapi terdiri daripada pelbagai gabungan politik dan tidak wajar hanya UMNO sahaja boleh menentukan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Kita perlu sedar bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), BN (Barisan Nasional) dan Gabungan Parti Sarawak.
“Sesungguhnya, kegagalan penyatuan ummah hanya akan merugikan dan menguntungkan pihak lain,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu hadir ditengah-tengah spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal membincangkan tarikh PRU-15 bersama-sama ‘lima pemimpin tertinggi’ UMNO untuk membubarkan Parlimen.
Perbincangan itu turut melibatkan rakan komponen UMNO yang lain dalam gabungan BN seperti parti MCA dan MIC.
Pada masa yang sama, Mohd Redzuan turut mengingatkan kerajaan agar menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.