
Ketua Bahagian Bersatu Ampang Mohd Isa Mohd Saidi.
Tiada sebab untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinetnya dengan mengambil kuota yang ditetapkan kepada Bersatu.
Ketua Bahagian Bersatu Ampang Mohd Isa Mohd Saidi berkata jika Ismail Sabri mahu mengekalkan Zuraida, beliau perlu mengambil salah satu kuota menteri daripada UMNO.
Menurutnya Zuraida sebenarnya tiada prinsip kerana dahulu beliau antara yang kuat mengkritik pimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Tetapi kini Zuraida melutut kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi mencari talian hayat. Nampaknya Zuraida langsung tidak ada rasa malu untuk menjilat ludah sendiri demi untuk mengekalkan pangkat dan harta.
“Tidak ada sebab untuk Perdana Menteri mengekalkan Zuraida dengan mencuri kuota Bersatu. Jika Perdana Menteri mahu memberi talian hayat kepada Zuraida, beliau perlu menggugurkan salah seorang menteri daripada kuota UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zuraida hari ini yang berharap pertemuan dengan Ismail Sabri nanti akan dapat memberi hasil yang baik sekurang-kurangnya dapat kekal menjadi Menteri.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata masih menunggu tarikh untuk berjumpa Ismail Sabri dan berharap jawatan sebagai Menteri dapat dikekalkan bagi meneruskan semua perancangan kementerian yang diterajuinya dapat disempurnakan.
“Perdana Menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan). Saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (Menteri),” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Isa berkata penyertaan Zuraida di dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai Presiden Designate bukan satu perkara yang mengejutkan.
Ini kerana, sejak di dalam Bersatu lagi beliau ingin memegang jawatan tertinggi dengan pantas tanpa mengikut proses biasa untuk naik dalam sesebuah parti.
“Daripada Ketua Wanita Pakatan Harapan dan juga Ketua Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat, apabila bersama Bersatu beliau mengharapkan tempatdan kedudukan parti tanpa melalui pemilihan.
“Tetapi apabila dilantik ke jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Zuraida gagal memainkan peranan untuk menyatukan parti.
“Semua tindakan beliau hanya untuk kelompok kecil kroni-kroni yang bersama dia sahaja, bukan untuk parti dan rakyat,” katanya.