
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan oleh New Straits Times menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini (9 Oktober 2022) memohon perkenan membubarkan Parlimen. - Gambar Istana Negara
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menurut New Straits Times (NST).
Pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong itu tanpa disedari media yang seperti biasa akan menunggu di luar pintu pagar Istana Negara kerana kebanyakannya menumpukan kepada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Memetik laporan, akhbar itu difahamkan perdana menteri permohonan untuk pertemuan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
“Pembubaran Parlimen mungkin seawal esok,” lapor NST memetik sumber sebagai berkata.
Difahamkan juga, perdana menteri akan menghantar Yang di-Pertuan Agong yang akan mengadakan lawatan khasnya ke United Kingdom mulai esok hingga 16 Oktober.
Lawatan khas baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London termasuk mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.
Terdahulu, MalayMail memetik sumber sebagai berkata UMNO akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas malam esok (10 Oktober 2022), tatkala spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan minggu depan semakin bertiup kencang.
“Malam esok, akan ada mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO,” lapor MalayMail memetik sumber ketika dihubungi.
Pertemuan itu dijangka berlangsung selepas mesyuarat biro politik parti yang juga akan diadakan pada sebelah malam.