PM kata tidak boleh tangguh PRN Johor, kes Covid-19 masih terkawal

Walaupun kes harian jangkitan Covid-19 kini sudah mencecah 20,000 sehari namun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh ditangguhkan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu memberi alasan PRN Johor tidak boleh ditangguh memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan dan tarikh pengundian sudah diumumkan.

“Ia tidak boleh (tangguh PRN Johor). Hanya ada satu cara saja yang membolehkan tangguhkan PRN iaitu dengan mengadakan darurat. Itu saja kaedahnya.

“Apabila DUN sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikhnya dan sebagainya, ia memang tidak boleh ditangguhkan.

“Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor. Jika kita buat darurat, tak kan Johor saja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara.

“Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini,” katanya dipetik laporan BH.

Ismail Sabri terdahulu menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Ledang di Tangkak.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat bagi tujuan politik.

Perdana Menteri yang yakin PRN Johor tidak akan ditangguhkan walaupun terdapat gesaan sebegitu, berkata kes Covid-19 turut direkodkan pada PRN Melaka, namun ia tetap terkawal.

“Tidak ada sebab kita nak isytihar darurat di Johor semata-mata bagi menanguhkan PRN. Saya dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyatakan, kita terpaksa hidup dalam Covid-19 sehingga ia dianggap sebagai endemik seperti penyakit lain termasuk selesema dan demam denggi.

“Kita perlu meneruskan hidup di dalam Covid-19, namun perlu kawal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata sektor ekonomi tidak boleh dibuka kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat sekiranya dilaksanakan sekatan seperti sebelum ini semula.

“Kita juga sudah buka ekonomi, tidak mungkin kita akan tutup semula ekonomi, apatah lagi kita tahu betapa sukar kehidupan rakyat apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan. Kalau kita tutup semula, habis ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Begitu juga pergerakan rentas daerah dan negeri, cuma sempadan negara sahaja kita belum buka. Dalam negara kita sudah buka, termasuk untuk nak balik kampung masa raya pun kita sudah umum, takkan tiba-tiba nak tutup semula dan tak benarkan,” katanya.

Mengenai SOP PRN Johor, Ismail Sabri berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, namun beliau menjangka ia adalah ketat, sama seperti SOP pada PRN Melaka, tahun lalu.

“Di Melaka SOP ketat, di Johor pun mungkin begitu, namun kena tunggu pengumuman rasmi SPR yang sedang mendapatkan nasihat KKM dan ia akan diumumkan sebaik sahaja semuanya dimuktamadkan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR