PM kata RUU dibentang Julai, tapi Anwar gesa Mei pula

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan segera Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada akhir Mei dan tidak menunggu sehingga Julai depan nanti.

Ketua Pembangkang itu nampaknya seakan tidak mahu RUU tersebut ditangguhkan atau dilewatkan, ia meskipun Ismail Sabri sudah memberi jaminan RUU akan dibentang pada Julai bagi memastikan semua perkara diteliti terlebih dahulu.

“Kita usulkan supaya sesi berikutnya, harapannya selewat-lewatnya sebelum akhir Mei ini. Saya harap, Perdana Menteri dapat memberikan persetujuan,” katanya semasa perbahasan dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata langkah menyegerakan itu bertujuan bagi memastikan ia selari dengan tindakan pembangkang yang akan menyokong keputusan kerajaan meminda Perkara 10 Perlembagaan dan memberi laluan kepada RUU Anti Lompat Parti untuk dibentang selepas ini.

“Ini bagi membolehkan kita tahu pindaan ini berlaku khusus untuk memenuhi maksud kita dalam meminda atau mengadakan RUU ini, supaya Yang Berhormat akan mendapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini, yang kita tahu adalah dengan menterjemahkannya dalam RUU Antilompat Parti ini.

“Saya harap jawatankuasa berkenaan akan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyasarkan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini.

Beliau berkata kerajaan tidak ada niat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti, namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan dibentangkan esok.

“Ada pihak yang terkeliru cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam soal membentang Akta Anti Lompat Parti,” katanya semasa menghadiri taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Jelasnya, pindaan perlembagaan Artikel 10 adalah untuk membolehkan Akta Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen, kerana tanpa pindaan kepada Artikel 10 mana-mana undang-undang yang dibentangkan atau diluluskan tidak boleh terpakai kerana akan bertentangan dengan Artikel berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR