
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memahami tuntutan daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM), walaupun ia tidak disebut dalam pertemuan enam mata pada 4 Ogos lalu.
Bendahari PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut bersama Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada pertemuan dengan Ismail Sabri sebelum ini berkata isu tuntutan TPM tidak dibangkitkan ketika perjumpaan itu.
Bagaimanapun Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata walaupun tidak disebut mengenai perkara itu, Perdana Menteri maklum mengenainya.
“Saya berpendapat, jika kita tidak sebut pun, Perdana Menteri tahu mengenai tuntutan daripada PN,” katanya semalam, memetik laporan BH hari ini.
Justeru, Ahmad Samsuri berkata PN sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Perdana Menteri selepas pertemuan 4 Ogos lalu.
Beliau berkata isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata pertemuan santai itu banyak berkisar kepada isu tertangguh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
“Kita mengambil kesempatan mengutarakan pelbagai isu, termasuk berkaitan pembangunan dan sebagainya.
“Pada pertemuan itu, banyak isu secara luaran dan umum sahaja dibangkitkan.
“Secara rasminya memang kita masih lagi akan usahakan supaya wakil daripada PN merangka delegasi untuk bertemu dengan Perdana Menteri,” katanya semalam.
Sabtu lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PN yang diwakili Hamzah dan Ahmad Samsuri pada 4 Ogos lalu.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera dilaporkan berkata kedua-dua pemimpin itu sudah menyampaikan pandangan mereka dan beliau juga sudah sampaikan pandangannya.