
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan tidak disambung lagi selepas tamat 31 Julai 2022.
Isyarat jelas diberikan Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, kata penganalisis politik.
Langkah tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) akan memberi kebebasan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menentukan tarikh PRU-15 diadakan, malah pemerhati politik tidak menolak berkemungkinan Parlimen boleh dibubarkan pada masa terdekat ini.
“Dari segi PRU, saya melihat keputusan itu memang logik kerana Perdana Menteri tidak mahu tangannya terikat dengan PH.
“Malah, saya menganggap keputusan dibuat itu adalah strategi politik Perdana Menteri dan beliau boleh menggunakan kuasa yang ada padanya untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa sahaja.
“Boleh jadi PRU-15 sudah dekat dan boleh diadakan bila-bila masa sahaja, namun boleh jadi juga tahun depan,” kata seorang penganalisis politik, Profesor Madya Dr Azmi Hassan dipetik laporan BH.
Jelasnya, berbeza dengan situasi sebelum ini, PH kini tidak mempunyai asas untuk mengikat Ismail Sabri agar menunaikan janji yang dimerterai dalam MoU sebelum ini.
“Jadi, dalam keadaan sekarang semua orang akan berada dalam keadaan tertanya-tanya bila PRU akan diadakan,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri semalam berkata tidak ada lagi perjanjian atau MoU baharu yang akan disambung antara kerajaan dengan PH.
Ismail Sabri akur dengan pendirian partinya, UMNO yang sudah membuat ketetapan supaya tiada MoU 2.0 akan dimerterai dengan PH walaupun terdapat usaha untuk menyambung MoU 2.0 yang baharu selepas tamat pada 31 Julai ini.
“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.
“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.
“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya semalam.