PM beri jaminan bincang tarikh PRU-15 dengan ‘top five’ dalam UMNO

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan berbincang dengan ‘top five’ dalam UMNO dan Kabinetnya berhubung masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata mendengar semua pandangan perwakilan sepanjang perjalanan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung membangkitkan agar PRU-15 disegerakan, namun perbincangan yang teliti perlu dijalankan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top Five’ parti.

“Ini juga akan dibincangkan dengan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” kata beliau ketika berucap semasa hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 di PWTC hari ini.

Untuk rekod, ‘top five’ merupakan lima pemimpin tertinggi dalam UMNO yang terdiri daripada Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presidennya iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau mengakui dua kemenangan besar dalam Pilihan Negeri (PRN) membuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menghargai kepimpinan UMNO termasuk Zahid yang sebulat suara mencalonkannya sebagai PM dan disokong oleh kepimpinan UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Katanya, beliau tidak mungkin saya berada di atas pentas ini sebagai Naib Presiden dan PM tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.

“Benar seperti yang diucapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Kerajaan dan Parti harus seiring jalan.

“Dokongan dan sokongan pucuk pimpinan parti kepada Jemaah Menteri UMNO akan kami buktikan bahawasanya UMNOlah satu-satunya parti yang terbukti menjaga kepentingan agama bangsa dan tanah air serta kebajikan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Zahid semasa menggulung perbahasan PAU hari ini berkata Ismail Sabri jangan tunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU-15, mengulangi sekali lagi gesaan sebelum ini agar langkah tersebut disegerakan.

Malah, katanya beliau telah melihat bahawa UMNO dan BN sudah bersedia untuk menghadapi PRU.

“Tok Mail (Ismail Sabri) pengumuman dah sedap-sedap semua dah. Jangan tunggu lama-lama,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR