
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Penguasaan di Selangor mampu diteruskan walaupun Pakatan Harapan (PH) kini sudah bekerjasama dengan UMNO-Barisan Nasional (BN), kata Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden PKR itu optimis dengan kerjasama dengan UMNO, PH masih boleh menguasai menguasai Kerajaan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 40 berbanding 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ni kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik yang berasingan menunjukkan bahawa pengundi PH yang menerima dengan baik gabungan ini.
“Jadi hypothetically, sepatutnya untuk mengekalkan 40 kerusi tu agak mudah kerana tanda-tandanya paling menyokong dan menerima realiti kerajaan perpaduan ini, adalah penyokong PH terutamanya penyokong di kawasan bandar dan separuh bandar, yang faham tentang keperluan dan dasar nak dibuat,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Bagaimanapun, Rafizi berkata setakat ini sukar untuk menjangkakan jumlah undi UMNO yang boleh dipindahkan untuk menyokong PH dalam PRN Selangor nanti.
“Di Selangor, risiko yang kita belum tahu lagi maksudnya ketidaktentuan berapa banyak undi UMNO yang boleh dipindahkan kepada PH, not so much (tidak begiru banyak) berapa banyak pengundi PH itu akan menyokong PH ataupun PH-BN,” katanya lagi.
Rafizi juga menggesa supaya penyokong PKR tidak takut berdepan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti kerana yang pastinya mereka akan kalah teruk nanti.
“PN nak enjoy sangat biarlah, biarlah dua tiga bulan ini… Pandangan saya kita akan pertahankan Selangor dengan selesa, selepas ini Insya-Allah kita kejutkan orang ramai terutama geng PAS yang seronok sekarang ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, PH sudah mengesahkan akan bekerjasama dengan UMNO-BN bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi dan sedang membincangkan pembahagian kerusi sesama mereka.