
PKR.
Susulan terdapat bantahan berhubung proses pemilihan parti yang gagal diselesaikan, PKR memutuskan untuk menangguhkan kongres yang sepatutnya berlangsung hujung bulan ini ke bulan depan.
Penangguhan itu disahkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang dipetik berkata langkah itu diputuskan semasa mesyuarat MPP semalam bagi mencari penyelesaian terhadap bantahan yang dikemukakan oleh ahli parti.
Selain itu, Abdullah Sani juga berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada audit forensik dijalankan.
Pemilihan parti kali ini terpalit dengan dakwaan seperti kewujudan pengundi ragu, kesahihan undi dan masalah logistik.
“Mesyuarat malam tadi memutuskan untuk tangguh kongres pada Julai bagi memberi ruang untuk selesaikan aduan dan juga lakukan audit forensik,” katanya dipetik FMT.
Kongres PKR pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 24-26 Jun, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Pada 5 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terbuka untuk membuat audit forensik selepas seorang calon yang juga orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mempersoalkan kesahihan lebih 25,000 undi dalam persaingan antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution bagi jawatan timbalan presiden.
Katanya, seramai 147,000 ahli PKR membuang undi dalam persaingan tersebut, namun keseluruhan undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Saifuddin hanya berjumlah 119,030.
Terdapat juga laporan polis yang dibuat oleh ahli parti yang kalah dalam pertandingan.