PKR mahu guna lambang sendiri dalam PRU, DAP dan Amanah perlu ikut sama

Lambang Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas PKR mahu menggunakan lambang sendiri atas alasan berdepan kesukaran kerana ia tidak dikenali rakyat.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata cadangan menggunakan lambang PKR sudah dibincang Majlis Pimpinan Pusat PKR dan mengajak rakan parti komponen mereka DAP dan Amanah untuk menerima cadangan tersebut selepas mengambilkira kesukaran yang dihadapi di bawah peraturan kempen yang ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, untuk memperkenalkan calon-calon baru dan lambang PH.

“Namun oleh kerana PKR memahami sikap sahabat-sahabat di dalam PH pada ketika itu, maka kami membuat keputusan bersetuju dengan penggunaan logo tersebut.

“Namun, ke hadapan, PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula.

“Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya pada satu kenyataan malam ini.

Pada PRU 2018, gabungan PH menggunakan lambang PKR di Semenanjung Malaysia memandangkan PH tidak dapat didaftarkan pada masa itu.

Bagaimanapun, setelah berdaftar secara rasmi selepas berjaya menjadi kerajaan pusat, gabungan itu menggunakan lambang PH dalam pilihan raya kecil selepas daripada itu dan juga semasa PRN Melaka tempoh hari.

Sebelum ini, PKR juga mencadangkan semua parti PH untuk menggunakan lambang partinya, tetapi DAP dan Amanah tetap bertegas agar ahli gabungan kekal memakai lambang PH.

Bagaimanapun, selepas PRN Melaka baru-baru ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke mencadangkan agar parti-parti PH boleh kembali menggunakan lambang masing-masing, seperti pada tahun PRU 2008 dan 2013.

BERITA BERKAIT
POPULAR