PKR kini pembela ‘kluster mahkamah’, DAP dan Amanah kena tipu dengan Anwar

Sesuatu yang ganjil dan pelik sedang berlaku menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, belum bermula kempen tetapi PKR sudah menghalakan serangan dan kecaman mereka terhadap PAS dan Bersatu.

Berbeza dengan kempen-kempen terdahulu, nampaknya parti yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim itu lebih berminat dalam menyerang PAS dan Bersatu, malah kenyataan beberapa pemimpin PKR seakan lebih suka masuk campur urusan hal ehwal politik parti lain.

PKR juga nampaknya tidak berminat lagi untuk membicarakan isu-isu melibatkan kepentingan negara atau kebajikan rakyat, mereka kini lebih teruja untuk membela UMNO yang dipimpin anak murid bos mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mungkin kerana hubungan istimewa Anwar dan Zahid, maka pemimpin-pemimpin bawahan PKR terpaksa tampil membela UMNO yang kini sedang diasak PAS dan Bersatu kerana banyak membuat keputusan yang menyusahkan rakyat.

Satu persatu pengikut fanatik Anwar dalam PKR dan Amanah termasuk Presidennya, Mohamad Sabu menghamburkan kecaman terhadap PAS dengan pelbagai label dan ungkapan yang tidak sedap didengar.

PKR dan Amanah cuba mengambil kesempatan susulan keretakan yang berlaku dalam parti-parti yang membentuk kerajaan pusat ketika ini, namun sedar atau tidak tindakan PKR dan Amanah itu seakan cuba memberi nyawa kepada UMNO khususnya dalam menghadapi PRN Johor nanti.

Adakah Anwar memberi arahan kepada pengikut-pengikut fanatiknya untuk menggunakan strategi menyerang PAS dan Bersatu dalam PRN Johor, walhal lawan yang sepatutnya mereka tentang adalah UMNO?

Jika sekalipun mahu menang PRN Johor, Anwar tidak sepatutnya menunjukkan kebodohan yang terserlah dengan menyerang PAS dan Bersatu sebagai musuh utama mereka.

Musuh yang patut mereka bimbang adalah UMNO kerana terbukti kekalahan teruk blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR yang gagal memenangi sebarang kerusi semasa PRN Melaka.

Penyokong PH semasa PRN Melaka memberi isyarat yang jelas, tindakan Anwar mengetuai PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sama sekali tidak wajar dan dianggap bodoh.

Anwar sebelum ini tidak mempercayai kemarahan rakyat terhadapnya kerana menjadi punca kepada UMNO kembali berkuasa di Putrajaya, namun dalam dua PRN di Melaka dan Sarawak, secara jelas wujud penolakan rakyat khususnya pengundi setia PH sendiri.

Kini dalam PRN Johor, Anwar sekali lagi mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya dengan menyerang PAS dan Bersatu secara berlebihan sehingga memberikan kredit secara tidak langsung kepada UMNO.

Tindakan Anwar tersebut sebenarnya menimbulkan lebih banyak kemarahan dikalangan penyokong mereka sendiri, tidak mustahil senario penolakan dalam PRN Melaka bakal ditunjukkan pengundi.

Bagi orang ramai, Anwar dan PKR kini umpama pembela ‘kluster mahkamah’.

Bagaimanapun ia bukan sesuatu yang luar biasa, bukankah sebelum ini Anwar juga bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’ dalam menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin sendiri menjelaskan bagaimana ‘kluster mahkamah’ merancang strategi yang rapi termasuk dengan menjerat Anwar dan pembangkang dalam permainan politik licik mereka.

“Satu dunia tahu bagaimana malunya apabila kita berdepan dunia dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa yang berlaku zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu dan dihukum oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” kata Khairil dalam sebuah program bual bicara bersama rakan sejawatnya dari Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Dan mereka-mereka ini jugalah yang dilihat mengganggu kestabilan politik negara ini,” katanya lagi merujuk pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib berkait skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad).”

Namun, kemaraan UMNO dan juga kelicikan ‘kluster mahkamah’ ini juga sebenarnya berpunca daripada Anwar yang masuk jerat anak muridnya sendiri.

Jika tidak kerana ketamakkan dan gelojoh untuk merampas kuasa, mustahil Anwar masuk ke dalam perangkap yang dipasang oleh UMNO sehingga menyebabkan semua parti pembangkang kini dibenci rakyat dan penyokongnya sendiri.

Jika sebelum ini Anwar dan PKR begitu beria-ria menuduh Bersatu sebagai parti pengkhianat, sebenarnya Anwar juga dikhianati oleh anak muridnya termasuk UMNO.

Tetapi Anwar tidak pula atau mengkritik anak muridnya sebagai pengkhianat walhal turut ditipu hidup-hidup dengan konon-kononnya akan diberi sokongan untuk menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Jelas sekarang, DAP dan Amanah kini kena tipu pula hidup-hidup dengan PKR yang diketuai Anwar sehingga menyebabkan rakyat kini juga sudah tidak mempercayai mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR