PKR degil guna lambang sendiri, rakyat lihat tiada persefahaman: Guan Eng

Degil mahu menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang rasmi, Pakatan Harapan (PH) dilihat punca perpecahan blok pembangkang tersebut yang dilihat pada kaca mata umum sebagai tidak mempunyai persefahaman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PH perlu dilihat sebuah gabungan yang kuat dan masuk bertanding pilihan raya secara sepakat dengan menggunakan satu lambang tetapi sebaliknya yang berlaku apabila PKR memilih untuk menggunakan lambang sendiri seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Saya selalu tegaskan perkara ini, bahawa kita boleh memenangi pilihan raya jika kita lawan sebagai satu gabungan.

“Apabila kita tanding (dalam pilihan raya) sebagai gabungan, ia bukan hanya DAP sahaja. Ia juga adalah Amanah dan PKR.

“Jika kita tidak menggunakan logo sama, apa mesej yang mahu disampaikan kepada pengundi? Saya fikir mesej itu mengganggu dan kamu tidak boleh terus berharap bahawa kita adalah serius dan komited untuk membentuk kerajaan seterusnya.

“Mereka (pengundi) mahu melihat kita bersatu sebagai satu pasukan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Untuk rekod, isu pemilihan lambang PH bukan suatu perkara baru, malah semasa pilihan raya Sarawak, ketiga-tiga parti menggunakan bendera masing-masing dan gabungan itu hanya mampu menduduki tempat ketiga, dengan memenangi cuma dua daripada 82 kerusi.

Episod sama berulang di Johor dan menyaksikan PH juga gagal mempertahankan rekod mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, lebih memalukan PKR yang menggunakan lambang sendiri hanya mampu memenangi satu kerusi daripada 20 yang ditandingi mereka.

PKR mendakwa keputusan memilih lambang sendiri semasa PRN Johor kerana logo PH dibayangi era hampir dua tahun pentadbiran mereka sebagai kerajaan persekutuan.

Setiausaha penganjur PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pentadbiran PH juga dikaitkan dengan banyak kepincangan termasuk kebangkitan puak dalam PKR yang akhirnya mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang dipilih. Pemimpin PKR yang lain juga senada dengannya.

BERITA BERKAIT
POPULAR