PKR belum beri kata putus berhubung kerusi diminta MUDA

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meminta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PKR namun mereka masih belum menerima kata putus berhubung permintaan tersebut.

Biro Politik MUDA dalam kenyataannya permintaan tiga kerusi DUN tersebut dibuat semasa siri rundingan dengan PKR, bagaimanapun mereka masih menerima maklum balas daripada PKR melibatkan permintaan mereka tersebut dan menggesa keputusan segera dibuat.

Jelasnya lagi, tiga kerusi tersebut bukan yang disandang atau dimenangi oleh PKR semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Menerusi siri rundingan antara MUDA dan PKR pula, kami mencadangkan untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ketiga-tiga kerusi ini bukan kerusi yang dimenangi atau ditandingi PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, namun MUDA menghormati hak PKR untuk mempertahankan kerusi sedia ada.

“Bagaimanapun, PKR belum lagi memberikan kata putus berkenaan tiga kerusi diminta MUDA.

“MUDA yakin dan percaya atas semangat kebersamaan dan demi rakyat Johor, satu rundingan yang telus dan jujur perlu dibuat.

“MUDA juga mencadangkan supaya setiap intipati rundingan diselesaikan bersama secara sulit sebelum diumumkan ke pihak media atas semangat ketelusan bersama,” kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, PKR Johor dilaporkan menawarkan MUDA tiga kerusi kepada parti itu bagi menghadapi PRN Johor, 12 Mac nanti.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dilaporkan berkata parti itu menanti maklum balas MUDA berhubung tawaran tiga kerusi berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR