
Tular gambar helikopter digunakan pemimpin PH semasa kempen PRU-15 lalu.
Rakyat digesa tidak terpedaya dengan retorik politik kerajaan campuran yang kononnya membela rakyat susah walhal realitinya mereka hanya membela orang kaya, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata PKR sebuah parti yang takut kepada orang kaya dan bukan pembela orang miskin dengan memberikan contoh penggunaan helikopter semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
“Dia takut kat siapa? Dia takut kat siapa. PKR ni takut kat dia takut kat orang kaya. Hari ni jadi kerajaan kononnya nak bela orang miskin.
“Tuan-tuan, mereka ni membela orang kaya. Di peringkat negeri, peringkat persekutuan, mereka bukan pembela orang miskin. Mereka berkawan dengan orang kaya.
“Pasal itu ketua dia, kempen pilihan raya naik helikopter. Ada siapa lain di Malaysia yang naik helikopter masa kempen, beritahu kat saya,” katanya semasa ceramah Himpunan Jentera Pilihan Raya di Padang Awam Guar Chempedak malam tadi.
Sanusi juga mempersoalkan siapa menaja penggunaan helikopter itu untuk digunakan bagi tujuan berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Siapa taja helikopter dia? Orang kaya? Dia berkawan dengan orang kaya. Hari ni dia kata nak menoktahkan kemiskinan, dia tipu. pasal kawan-kawan dia semua orang kaya,” katanya lagi.
Untuk rekod, semasa kempen PRU-15 lalu tular beberapa gambar dan video seorang pemimpin PH menggunakan helikopter untuk tujuan menghadiri program politik.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu berkata kerajaan campuran sehingga sekarang menunaikan janji mereka untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sehingga hari ini tiada sebarang langkah proaktif yang diambil untuk menangani isu dihadapi rakyat.
“Dia kata saya telah arahkan pegawai-pegawai kerajaan mengadakan perbincangan dalam dua minggu akan keluar satu pelan bagaimana untuk menangani kenaikan kos sara hidup.
“Lepas dua minggu keluar ada tak pelan itu tuan-tuan? Bukan lepas dua minggu, sudah enam bulan pun tidak ada lagi pelan itu,” katanya lagi.
Sanusi juga membangkitkan berhubung janji untuk menurunkan harga minyak dan pelbagai isu kesusahan rakyat yang tidak ditangani, tetapi kerajaan campuran hanya tahu menyaman musuh politiknya sahaja.
“Sampai sekarang ini tak ada pelan untuk menangani kos sara hidup. Tuan-tuan sekalian, Datuk Seri Hamzah (Hamzah Zainuddin) kata tadi nak menurunkan harga minyak, turun tak harga minyak? Sampai kita pun naik minyak.
“Harga ayam pun tak turun, dapat tak KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)? tak ada. Ada orang buat kuih dengan simen?
“Kita bercakap dalam medan politik. Tiap-tiap hujah dalam medan politik, kita akan jawab di medan politik. Tapi oleh kerana mudah koyak, dia pi saman. Dia saman kita pi jawab mahkamah lah,” ujarnya lagi.