
Majlis Tertinggi UMNO perlu membuat keputusan sama ada dilanjutkan atau tidak tempoh pemilihan sehingga enam bulan selepas PRU.
Percubaan UMNO untuk meminda perlembagaan parti untuk mengadakan pilihan raya dalaman dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) masih belum selesai, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Memetik Utusan, Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad berkata walaupun pindaan perlembagaan diluluskan, UMNO masih perlu memaklumkan perkara itu kepada jabatan berkenaan sebelum 29 Disember ini.
“Majlis Tertinggi UMNO perlu membuat keputusan sama ada dilanjutkan atau tidak tempoh pemilihan sehingga enam bulan selepas PRU. Keputusan itu perlu dimaklumkan kepada RoS,” katanya dalam laporan itu.
Pemilihan UMNO pada mulanya dijadualkan diadakan pada 30 Jun 2021 kerana tempoh tiga tahun pemegang jawatan berkenaan akan tamat pada masa itu.
Pada 15 Mei, perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa parti itu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk meminda perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman ditangguhkan sehingga selepas PRU Ke-15.
RoS sejak itu meminta satu pemilihan diadakan dalam tempoh satu penggal Dewan Rakyat.
Nawardi dilaporkan berkata jika UMNO belum memutuskan perkara ini, ia perlu mengadakan pemilihan sebelum 29 Disember atau Majlis Tertinggi (MT) sekarang hanya bertindak sebagai “penjaga”.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan turut dipetik sebagai berkata parti itu telah memberi jawapan kepada RoS pada Selasa.
“Kami mengadakan mesyuarat MT minggu lepas… jadi (pada Selasa) kami menghantar kepada RoS mengenai keputusan MT yang bersetuju dengan pindaan yang diluluskan oleh RoS.
“Kami melampirkan salinan perlembagaan yang dipinda, ia melibatkan pemilihan parti selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU diadakan,” katanya.
Bulan lalu, Ahmad mengakui UMNO perlu mengadakan pemilihan tahun ini sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan perlembagaannya.
Beliau juga mendakwa parti itu mempunyai “Pelan B” sebagai sandarannya jika pindaan perlembagaan itu tidak diluluskan.