Pinda Perkara 10, bagaimana jika UMNO sendiri bertindak pecat PM?

Esok sidang khas Parlimen akan berlangsung untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan tidak semudah yang dijangka memandangkan ia memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat pada ketika kerajaan yang dibentuk ketika ini tidak memiliki sokongan majoriti besar.

Pelbagai pihak memberi pandangan berhubung langkah yang hendak diambil kerajaan meminda Perkara 10, malahan kumpulan yang cenderung dikaitkan dengan blok pembangkang juga menyuarakan kebimbangan berhubung langkah tersebut.

Dalam banyak-banyak pandangan, senario yang paling membimbangkan adalah apabila sesebuah parti diberikan kuasa yang terlalu besar dan sudah pasti kuasa itu dimiliki Presiden sesebuah parti itu.

Senario politik yang paling mudah boleh berlaku adalah sekiranya Perdana Menteri (PM) enggan mematuhi keputusan UMNO membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU) diadakan dan kemudiaan parti mengambil tindakan memecatnya. Ia bakal memberi implikasi yang teruk terhadap dirinya sendiri.

Apabila seseorang dipecat partinya, jika mengikut pindaan yang dicadangkan dalam draf bakal dibentang esok, seseorang Ahli Parlimen itu perlu mengosongkan kerusinya dan tidak boleh bertanding selama lima tahun.

Untuk rekod, buat kali pertama dalam sejarah UMNO, seorang PM dilantik bukan datang daripada individu yang menjawat jawatan presiden parti.

UMNO kini diterajui Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diketahui umum berdepan puluhan pertuduhan kes mahkamah bersama rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak.

Apakah jaminan UMNO tidak akan memecat keahlian seseorang itu, bahkan sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan timbalan presiden parti pun dipecat hanya kerana membangkitkan isu penyelewengan 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

Selain itu, Zahid dan Najib juga tidak mempunyai masa yang lama untuk melepaskan diri masing-masing daripada pertuduhan kes mahkamah yang dihadapi mereka, apakah jaminan mereka tidak sanggup melakukan apa sahaja untuk terlepas daripada hukuman?

Pakar undang-undang Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi juga sudah menyuarakan kebimbangannya berhubung senario sama yang mungkin akan berlaku selepas ini sekiranya Perkara 10 Perlembagaan itu dipinda.

Shad Saleem berkata ini cadangan sedemikian adalah bertujuan mengukuhkan perpaduan parti yang kemudian menjadi hasrat Perlembagaan namun kelemahannya ialah ia akan memberikan kepimpinan parti terlalu banyak kuasa yang menyebabkan mana-mana ahli parti tidak dapat bersuara atau mencabar pemimpin parti.

“Masalahnya ialah jika parti tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap seorang Ahli Parlimen (MP), maka saya dimaklumkan oleh sesetengah pihak bahawa apa yang MP itu boleh lakukan ialah kekal bersama parti secara rasmi namun teruskan mengundi menentangnya sehingga mungkin menyebabkan parti itu tewas atas undi percaya.

“Malangnya, tidak akan ada penyelesaian yang sempurna, seperti dalam kehidupan, jadi dalam isu undang-undang, kita perlu mengambil jalan tengah dan mencapai keputusan yang paling kurang merugikan,” katanya dipetik dalam wawancara Bernama.

Senario yang boleh berlaku jika diteliti daripada kebimbangan yang disuarakan oleh Shad Saleem adalah PM yang tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas parti diwakilinya berdepan risiko paling besar untuk dipecat.

Beliau juga berkata tidak wajar undang-undang jenayah dibawa bersama dalam isu lompat parti ini.

“Saya telah membaca dengan agak bimbang satu cadangan yang amat ekstrem di Malaysia bahawa menukar kem setengah jalan perlu dijadikan kesalahan pilihan raya di bawah Perkara 48 dan kerusi perlu dikosongkan serta hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun.

“Saya tidak fikir kita perlu membawa undang-undang jenayah ke dalam isu ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, umum mengetahui semasa Perhimpunan Agung UMNO lalu, desakan dan tekanan berterusan diberikan kepada Perdana Menteri berhubung isu pembubaran Parlimen yang dibangkitkan banyak perwakilan semasa sidang parti itu.

Ia belum lagi diambil kira insiden dimalukan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila sekumpulan penyokong UMNO-Barisan Nasional (BN) bersorak mendesak pembubaran Parlimen dalam video tular.

Langkah untuk meminda Perkara 10 itu mungkin dapat memuaskan kehendak pembangkang yang berterusan mendesak RUU Anti Lompat Parti dibentang dengan segera tetapi ia juga mungkin memberi implikasi lebih teruk terhadap sistem demokrasi negara pada masa depan.

Adakah PM mahu mengadaikan masa depannya demi semata-mata tuntutan pembangkang yang hanya mahu memorandum persefahaman (MoU) dilaksanakan tetapi pada masa sama mereka juga tidak mahu menyokong usul kerajaan?

BERITA BERKAIT
POPULAR