Pilih pemimpin beramanah, cekap

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan bangsa Johor supaya memilih pemimpin yang amanah untuk mentadbir kerajaan negeri, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

Memberi contoh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak amanah setelah melakukan pelbagai penyelewengan, salah laku dan rasuah, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata tidak ada pemimpin dan calon PN yang terlibat dengan rasuah.

Menurutnya untuk menjamin tidak ada rasuah dalam kalangan pemimpin PN jika mampu membentuk kerajaan negeri Johor, gabungan itu telah memastikan semua calonnya bersumpah dengan nama Allah, dan berikrar untuk menolak rasuah.

Ini bagi memastikan, jika PN menang dan membentuk kerajaan, maka pentadbiran negeri akan bebas daripada sebarang bentuk rasuah, katanya berucap pada ceramah PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, hari ini.

“Jadi sebab itu bila kata nak bina sebuah kerajaan yang baik, kita perlukan pemimpin yang beramanah. Pemimpin yang baik. Pemimpin yang. bertindak cepat menolong rakyat,” katanya lagi.

Memberi contoh ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau mengangkat sumpah 1 Mac 2020 dan terpaksa berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya beliau terpaksa mengambil tindakan yang cekap dan pantas bagi mengekang penularan wabak itu sehingga terpaksa mengarahkan semua rakyat duduk di rumah dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu itu berlaku satu musimbah yang tak pernah terfikir oleh kita iaitu pandemik Covid-19. Dan bila berlaku pandemik saya menjadi perdana menteri, saya kata tutup PKP… jangan pergi ke mana-mana.

“Hakikatnya ialah tindakan yang terpaksa saya ambil untuk melindungi supaya nyawa rakyat Malaysia tidak terkorban oleh Covid-19. Wakil itu tak ada penawar. Tak ada ubat pun. Tak ada vaksin, dan terpaksa kita ambil tindakan untuk menolong supaya jangan banyak nyawa orang-orang kita terkorban.

“Apabila dikenakan PKP… tak boleh berniaga, tak boleh bekerja, duduk di rumah, tak boleh buka kilang, tak boleh buat kerja di ladang. Semua tak boleh… bila tak boleh saya terpaksa bantu rakyat. Hantar bahan-bahan makanan berbakul-bakul… sampai hari ini pun masih lagi dihantar bekalan bahan makanan kerana tidak mahu rakyat Malaysia mati kebuluran.

“Alhamdulillah kini kita akan kembali semula kepada kehidupan hampir normal walaupun masih perlu memakai pelitup muka. Perdana Menteri telah mengumumkan sempadan akan dibuka semula.

“Saya mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara telah mendesak supaya sempadan negara dibuka semula untuk memulihkan ekonomi… dan itu yang kerajaan Perikatan Nasional lakukan,” katanya.

Pada masa sama Muhyiddin sekali lagi mengajak bangsa Johor supaya berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan dengan memilih Perikatan Nasional.

“Hijrah tinggalkan UMNO dan BN, sertai Perikatan Nasional. Tinggalkan yang buruk dan pergi kepada yang lebih baik. Itu yang penting,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR