
Sidang media Proklamasi Orang Melayu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semua pihak yang menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepakat untuk bekerjasama semasa pilihan raya nanti.
Perkara itu diumumkan DrMahathir selepas Mesyuarat Tertutup Rundingan Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu dengan pemimpin dan wakil-wakil parti politik yang menyokong gerakan itu, hari ini.
Menurut Dr Mahathir, dalam pertemuan itu juga mereka memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada pilihan raya dan sedang memikirkan untuk bertanding bersama-sama.
“Itu la tujuan kita hari ni dan kita semua setuju perlunya kita bergerak bersama. Kalau PRU pun kita gerak bersama la.
“Kalau tak ada kuasa pun tak boleh buat apa pun,” katanya pada sidang media tersebut.
Sementara itu beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini hingga disiasat polis yang mendakwa Raja-Raja Melayu telah menyerahkan negeri mereka semasa zaman penjajahan British untuk kekal berkuasa serta demi gelaran ‘raja’.
Mahathir berkata ‘semua orang tahu’ bahawa Raja-Raja Melayu menjual tanah untuk mendapatkan pendapatan.
“Saya sebut sesuatu berkenaan Raja-raja Melayu. Dulu macam mana mereka tidak ada duit, simpan cukai dan sebagainya dan saya kaitkan dengan apa berlaku di Johor. Ini kenyataan, semua orang tahu. Takkan tak boleh cakap.
“Semua tahu dia jual tanah. Dia jual tanah RM4 bilion. Saya jumpa orang Cina itu, dia bangga beli tanah RM4 bilion.
“Tanah tu kekal selama-lama sampai akhirat, tanah sudah bagi pada orang itu,” katanya.