
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Pakatan Harapan (PH) yakin dapat terus mentadbir Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, kata Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang berkata gabungan itu tetap yakin dengan sokongan orang ramai terhadap pentadbiran, memetik pemantauannya terhadap sentimen akar umbi.
“Setakat ini, saya rasa pembangkang masih belum dapat memberikan kes yang kukuh mengapa rakyat perlu mengundi mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat beberapa lokasi di Tasek Gelugor di bawah program “Jelajah Sayangi Pulau Pinang”.
Bagaimanapun, beliau berkata pakatan itu tidak akan memandang rendah sesiapa pun, terutama dengan parti baharu.
“DAP akan pastikan jentera pilihan raya telah bersedia,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata Pulau Pinang sedang menimbang semula untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU.
Beliau berkata semua persiapan pemilihan oleh DAP dilakukan di peringkat parti ketika ini namun parti itu masih belum menetapkan calon.
Chow baru-baru ini memulakan program “Jelajah Sayangi Pulau Pinang” dengan melawat setiap kawasan Parlimen di negeri itu.
Walaupun beliau menegaskan bahawa program itu adalah untuk mempromosi dan mengaktifkan semula ekonomi tempatan, beliau juga mengakui bahawa semua yang dilakukan sekarang adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.