
Dua pemimpin kanan DAP dan PKR menghina dan merendah-rendahkan harga diri UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini (19 Januari 2023) menyerang balas pemimpin Pakatan Harapan (PH) sambil menyifatkan gabungan itu turut dijangkiti ‘virus’ yang belum mempunyai penawarnya.
Pada masa sama, beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, turut berkias dengan mengingatkan PH berkaitan hubungan kerjasama di dalam Kerajaan Persekutuan yang dibentuk sekarang.
Beliau memberi peringatan itu sebagai mengulas kenyataan dua pemimpin PH – Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy, dan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim – yang menyerang UMNO serta presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka, sedangkan PH dan BN telah bekerjasama membentuk kerajaan.
Menurut Ahmad Shabery sifat kerajaan PH yang memerintah negara selama 22 bulan sebelum ini iaitu mengkritik sesama parti sendiri secara terbuka, masih berlaku sekarang ini dan tidak dapat dibendung.
“Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman.
“Virus begini belum ditemui vaksin. Semasa pembangkang siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin.
“Jadi kerajaan susah sikit. Sebab orang nak tengok bila Ringgit nak sama seperti 2018, bila pasaran saham nak melonjak semula seperti sebelum 2018, bila pelabur datang berduyun2 seperti dulu.
“Berapa tinggi pulak dividen Tabung Haji, LTAT, ASB dan lain-lain. Paling susah fasal ayam dan telur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shabery turut mengingatkan mereka bahawa kerjasama yang terjalin antara PH dan BN adalah ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya jambatan konkrit.
“Susah semua ni. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat kurang cakap. Bukan cari pasal dengan rakan2 yang sama2 dalam kerajaan. Jambatan segera pakai besi. Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh. Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II menyifatkan Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO, sebagai ‘albatross’ atau ‘pembawa masalah yang menjadi penghalang’ yang bukan sahaja melingkari leher UMNO, tetapi juga PH.
Ramasamy percaya usaha UMNO untuk berubah juga akan melalui jalan sukar selagi imej korupsi yang melingkari parti itu tidak dibersihkan dan malangnya, Zahid selaku teraju parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej korup itu.
Hassan yang juga seorang peguam turut menyerang UMNO dan Zahid apabila menyifatkan parti itu adalah sekumpulan penjenayah yang terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.
“TPM1 (Zahid) sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
“BN-UMNO dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan.
“Tiada vaksin untuk menawar racun toksik ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati,” kata Hassan.