
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kerjasama dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pertandingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah realistik dan boleh dilaksanakan, kata Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.
Pengerusi PH negeri dan juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sejak kerjasama terbentuk di peringkat Persekutuan, PH dan UMNO kini sudah serasi dan mula memahami antara satu sama lain.
“Di peringkat negeri, kami tiada ada kuasa untuk menentukan hala tujunya, ia aka diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Nampak akan berbincang mengenai perkara tersebut dan saya berharap ia dimuktamadkan hujung bulan ini.
“Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama (dengan BN) jika itu arahan, kami akan ikut. Saya belum berjumpa dengan Tok Mat (Mohamad), ada berjumpa beliau secara tidak rasmi seperti di Parlime dan majlis-majlis, tetapi (rundingan kerjasama) tidak boleh berjumpa tidak rasmi, mesti diputuskan di peringkat kepemimpinan,” katanya dipetik laporan media.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata setakat ini masih belum ada pertemuan antara beliau dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan soal tersebut.
Namun begitu, menurut beliau, sebarang penyelesaian mengenai kerjasama berkenaan hanya akan diputuskan pucuk pimpinan parti masing-masing dengan di peringkat PH, ia akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.
Ketika ditanya terdapat dakwaan berlaku kesukaran untuk mengadakan rundingan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR menjelaskan, itu hanya pandangan sesetengah pihak sahaja.
“Itu pandangan mereka sahaja, mungkin pada zaman mereka, itu yang berlaku, kita tidak tahu. Tetapi dalam keadaan sekarang apa juga keputusan itu harus diraikan.
“Keputusan Majlis Presiden itu nanti adalah penting, jika tiada (kerjasama) kami juga akur, saya rasa penyokong di peringkat akar umbi juga akan terima, pastinya mereka akan ikut apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan. Itu di peringkat PH, di pihak BN saya tidak tahu,” katanya lagi.