PH Melaka hantar warkah kepada Agong, bantah bubar DUN

Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan sudah menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi.

Pengerusinya Adly Zahari berkata warkah itu dihantar pada kira-kira 5.50 petang oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad.

“Warkah berkenaan diterima oleh Wakil Urusan Diraja Istana Negara Ahmad Hanafi Yahya,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata warkah itu dihantar untuk memohon ihsan dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk menasihati Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam agar menarik balik tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Okt lepas.

Katanya antara lain, isi kandungan warkah itu menyebut selaras dengan Perkara 8.2(b) Perlembagaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali tidak mempunyai budi bicara untuk mempersetujui permintaan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi membubarkan DUN.

Adly berkata ia seharusnya dielakkan kerana telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) semasa usaha membendung wabak COVID-19 masih berada di tahap pemulihan sekali gus mengancam nyawa rakyat dan ekonomi negara ketika pandemik belum terkawal sepenuhnya.

“Yang Dipertua Negeri sepatutnya menjalankan proses pertemuan dengan kesemua 28 ADUN untuk menentukan kehilangan sokongan majoriti ADUN ke atas Ketua Menteri dan kepunyaan sokongan majoriti ADUN ke atas ADUN yang dicalonkan oleh kami mengikut Perlembagaan Negeri Melaka (Proses Penentuan Ketua Menteri).

“Proses Penentuan Ketua Menteri tidak sepatutnya dilaksanakan dengan cara tergesa-gesa terutama sewaktu Yang Dipertua Negeri menjalani kuarantin kendiri dari 30 Sept hingga 7 Okt,” katanya.

Beliau berkata surat itu ditandatangani oleh beliau, Norhizam, Noor Effandi, bekas ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri yang dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR