
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) akan berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
Ketua Pembangkang itu berkata MoU dengan kerajaan tersebut tidak ada tarikh akhir seperti didakwa UMNO yang tidak mahu ia disambung selepas 31 Julai ini, malah Anwar memberi isyarat kemungkinan kerjasama antara PH dan kerajaan boleh disambung lagi.
“Dalam MoU itu, ia tidak menetapkan tarikh akhir. Sebaliknya, ia menetapkan tarikh pilihan raya. Jadi, kita masih berunding, ini bukan muktamad.
“Muktamadnya, kita bincang bersama dalam PH dan kita akan memastikan beberapa langkah lain yang menyentuh mengenai tata kelola pengurusan kerajaan, rasuah dan monopoli… Ini kita akan ketengahkan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan semakan, dokumen MoU Transformasi dan Kestabilan Politik menjelaskan MoU itu hendaklah berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai hingga pembubaran Parlimen Ke-14.
Terdahulu, UMNO memberi kata dua kepada PH yang kemaruk mahu Ismail Sabri menyambung MoU lagi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata PH sepatutnya sedar dengan ketetapan yang sudah dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada kepentingan pembangkang.
“MT UMNO putuskan tiada lagi lanjutan kepada MoU antara Kerajaan dan PH. Kami menganggap apabila MoU sebut tidak boleh bubar Parlimen sebelum 31 Julai 2022, maka itulah tarikh tamat MoU.
“Pimpinan tahu tentang keputusan MT ini dan sudah diumum pun kepada orang ramai. #RakyatDidahulukan bukan PH,” katanya dalam satu ciapan Twitter.