PH kembali serang Peguam Negara

Pakatan Harapan (PH) yang kecewa kerana gagal mengangkat ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9, kembali meniupkan sentimen kemarahan terhadap kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Perkara ini muncul susulan pendapat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa undi percaya terhadap keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM tidak perlu dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 13 September ini.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH beranggapan kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

Secara tidak langsung kenyataan Majlis Presiden PH hari ini memberi tempias kepada kerajaan Ismail Sabri yang dituduh oleh Anwar cuba untuk tidak mengadakan undi percaya di Parlimen sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan itu Majlis Presiden PH berkata kenyataan Peguam Negara bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

PH berkata seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

PH juga mengingatkan bahawa Peguam Negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di manakah logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?

“Tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka,” kata PH yang memetik undi percaya pernah berlaku ketika Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM.

Sehubungan itu PH mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Agong tetapi beliau juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

“Perdana Menteri tidak harus mengguna pakai nasihat Peguam Negara yang salah ini sekiranya Perdana Menteri tidak mahu mengikuti jejak langkah mantan Perdana Menteri ke-8 yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau senantiasa diragui dan dipertikai,” kata PH.

BERITA BERKAIT
POPULAR