PH Johor sokong kumpulan perusuh langgar SOP, sedia khidmat peguam

Polis menyiasat perhimpunan pembakaran flare di Parit Raja, Batu Pahat, malam semalam mengikut Seksyen 144 dan 269 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Semasa negara sedang berdepan peningkatan kes jangkitan yang semakin tinggi dan jumlah kematian tertinggi dicatat hari ini, Pakatan Harapan Johor pula memberi sokongan kepada kumpulan perusuh di Batu Pahat baru-baru ini dengan menyediakan khidmat peguam kepada semua suspek yang ditahan.

Blok pembangkang di negeri tersebut menyifatkan langkah tersebut sebagai tanda sokongan kepada kumpulan perusuh tersebut yang sebelum ini mengakui dibayar individu tertentu untuk berhimpun dan membuat rusuhan menentang kerajaan.

“Pemimpin PH Johor telah mengadakan lawatan dan menyatakan rasa simpati kepada tiga keluarga di mana anak mereka telah direman berkaitan insiden di Parit Raja.

“PH Johor akan menawarkan khidmat guaman pro-bono kepada mereka yang didakwa terlibat dengan insiden Parit Raja bagi membantu menghadapi saat sukar ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani bersama oleh Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kira-kira 40 orang itu membuat halangan jalan raya menggunakan motosikal dan kereta di laluan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian dengan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.

Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, polis sudah menahan 20 individu berusia antara 16 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi semalam juga menyokong kumpulan perusuh tersebut dengan mengucapkan tahniah atas tindakan mereka.

POPULAR