PH dan BN sudah tadbir Melaka, PN saja yang belum (II – Pengkhianatan)

Kata penulis: Apa kata kali ini beri peluang kepada PN pula mentadbir Melaka. Cubalah untuk setahun lebih sahaja, bukan lama pun sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2023. Jika selepas itu tidak puas hati, buat keputusan baharu ketika PRU15. Tapi kalau OK, teruskan dengan PN.

Sambungan kisah…

Bukan Malaysia sahaja, malah seluruh dunia diselubungi virus yang sehingga kini menjangkiti lebih 252.6 juta penduduk dunia.

Untuk rekod, pembentukan Kerajaan PN berdepan cabaran paling hebat dalam sejarah negara, khususnya bagi Perdana Menteri (PM) kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Baginya, cabaran politik tidak sebesar mana, tetapi serangan virus Covid-19 merupakan ancaman yang tidak pernah ditanggung oleh mana-mana PM Malaysia sebelum ini.

Beberapa keputusan penting demi melindungi rakyat terpaksa diambil termasuk melaksanakan ‘total lockdown’ yang bermakna hampir seluruh sektor ekonomi terpaksa ditutup, sekali gus rakyat kehilangan pekerjaan, manakala pintu sempadan negara dikunci kukuh.

Namun, dalam kepayahan, Kerajaan PN memperkenalkan beberapa inisiatif demi meringankan beban rakyat dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bernilai berbilion-bilion ringgit, yang sehingga sekarang masih diteruskan.

Pada masa sama pimpinan Muhyiddin terus meningkat dan memperkukuhkan sistem kesihatan negara, termasuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memberi suntikan pelalian kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Namun, UMNO yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, mula merancang permainan kotor untuk membalas dendam dengan cara paling jijik dalam sistem demokrasi Malaysia.

Dimulai di Perak – UMNO mengkhianati PN apabila menarik sokongan kepada Menteri Besar (MB) ketika itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu, sekali gus mengangkat wakil rakyat UMNO menjadi MB pada 10 Disember 2020.

Untuk rekod UMNO/BN tidak mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana kalah kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Tetapi, dengan pengkhianatan dan tipu muslihat, parti itu kini berjaya mentadbir Perak. Dan ianya juga adalah kali kedua pentadbiran Kerajaan Perak bertukar tangan selepas PRU 2018.

Apapun yang berlaku, PN kekal beristiqamah demi kebaikan dan prihatin kepada rakyat, tidak berpakat dengan PH semula, sebaliknya memberi sokongan kepada UMNO untuk mentadbir Perak di bawah pimpinan Datuk Saarani Mohamad.

Hampir dua bulan kemudian, menyusul pula pengkhianatan di Johor – Kerajaan PN Negeri pimpinan Bersatu ditumbangkan juga dengan cara paling jijik. Juga kali kedua pentadbiran kerajaan negeri bertukar tangan selepas PRU 2018. Pelakon sama memainkan peranan – UMNO!

UMNO sebelum itu memberi sokongan kepada PN untuk mengetuai kerajaan negeri di bawah pimpinan MB Bersatu setelah PH tumbang. Menarik sokongan terhadap PN menyebabkan MB daripada Bersatu Datuk Dr Sahruddin Jamal terpaksa meletak jawatan.

Sekali gus, dengan gembiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut antara perancang pengkhianatan terhadap kerajaan PN Johor, Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai MB baharu pada 28 Februari 2020.

Sekali lagi, apapun yang berlaku, PN kekal beristiqamah demi kebaikan dan prihatin kepada rakyat, tidak berpakat dengan PH semula, sebaliknya memberi sokongan kepada UMNO untuk mentadbir Johor, sedangkan parti itu tidak mempunyai majoriti setelah kalah teruk kepada PH pada PRU 2018.

Susulan langkah Muhyiddin membawa Bersatu memisahkan diri daripada PH dan berjaya membentuk Kerajaan PN peringkat Persekutuan pada Mac 2020, dua ADUNnya di Melaka juga bertindak sama. Kedudukan Adly Zahari daripada AMANAH yang menjadi Ketua Menteri (KM) kerajaan PH goyang.

Menyifatkan dirinya ‘Hulk’ ADUN DAP Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hasan Baktee bertindak keluar daripada parti itu. Norhizam sebenarnya adalah ahli UMNO, sebelum menyertai DAP pada 2006.

Demikian juga ADUN PKR Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis meninggalkan parti itu dan seperti ‘Hulk’ beliau mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas, tetapi menyokong BN/PN, menjadikan PH hanya memiliki 11 daripada 28 kerusi.

Untuk rekod, Muhammad Jailani menjadi ‘katak berprinsip’ yang diterima UMNO setelah keluar daripada PKR, dan akan bertanding di DUN Rembia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Kerajaan PH Melaka tumbang dan ADUN UMNO Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali disokong 17 ADUN dipersetujui oleh BN/PN menjadi KM Melaka pada 9 Mac 2020, bukannya ADUN UMNO Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang menjadi Ketua Pembangkang ketika PH berkuasa.

Tidak berlaku seperti di Perak dan Johor apabila Ketua Pembangkang dilantik menjadi MB setelah kerajaan sedia ada tumbang, Idris mendakwa beliau dihalang oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, individu yang dikatakan lebih berkuasa daripada KM sendiri setelah dilantik sebagai Speaker DUN.

Di belakang tabir, Idris adalah penyokong kuat bekas PM Datuk Seri Najib Razak. Malah, Idris pernah berkata beliau tidak akan menyokong sebarang tindakan untuk meletakkan Bersatu mentadbir Melaka.

Manakala, Sulaiman pula mendapat dukungan Ab Rauf yang rapat dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Keadaan itu menyaksikan UMNO Zahid dan UMNO Najib berebut jawatan KM.

Kenapa mereka berebut? Adakah ia berkaitan projek mega RM43 bilion ‘Melaka Gateway’ yang dilancarkan Najib ketika beliau menjadi PM? Banyak duit untuk dicekau… Hawau!

Bersambung… Tetapi elok sangatlah pengundi Melaka yang berbilang bangsa memikirkan semula sejarah pentadbiran PH dan UMNO/BN sama ada di peringkat Pusat atau Negeri. BN/UMNO sudah! PH pun sudah! BN/UMNO sekali lagi pun sudah! Hanya PN sahaja yang belum. Apa kata cuba PN pula?

Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

BERITA BERKAIT
POPULAR