PH dakwa blok pembangkang patut tadbir Melaka

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengingatkan bahawa blok mereka sepatutnya diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri Melaka sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Dalam kenyataan petang tadi, Majlis Presiden PH mengimbas semula apa yang berlaku di Perak pada 2009 atau Melaka sendiri pada 2020 lalu, di mana blok majoriti diberi peluang mentadbir negeri.

Sehubungan itu, PH menolak penamaan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri sementara sebagaimana diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Kamel Mohamad.

“Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui bahawa Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah kerajaan ‘caretaker’ dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH juga menolak pembubaran DUN dan menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan tatkala Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 selain wujud parti-parti gabungan yang mendapat sokongan majoriti Ahli DUN (ADUN).

“Oleh demikian PH menolak penamaan Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti ADUN sebelum DUN Melaka dibubar dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden PH berkata perbincangan sepatutnya diadakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti diketuai Adly Zahari, blok Datuk Seri Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman sebelum nama Ketua Menteri ‘caretaker’ diumum.

PH juga mengulangi pendirian Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan susulan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebatkan,” kata PH.

Kerajaan UMNO Melaka tumbang pada 5 Oktober lalu apabila empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu menarik sokongan kepada Sulaiman.

Selain Idris yang juga bekas ADUN UMNO Sungai Udang, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu), turut menarik sokongan mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR