
Setiausaha Agung Beratu yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Marak gelombang sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN), khususnya ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, menyebabkan musuh politik ketakutan, sehingga sanggup melakukan cara paling kotor untuk merosakkan imej pemimpin Bersatu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Bersatu kini menjadi tempat untuk rakyat, khususnya Bumiputera bergantung harap, selain mendapat dukungan besar pengundi dalam PRU-15 lalu, terutama daripada golongan muda.
“Parti yang telah banyak berjasa kepada rakyat, walaupun umurnya baru menginjak 6 tahun – terutamanya ketika Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin negara.
“Kekuatan inilah yang ditakuti oleh musuh-musuh politik kita. Sinar inilah yang tidak disenangi oleh mereka. Marak gelombang sokongan rakyat inilah yang mahu dibunuh oleh mereka dengan cara yang paling kejam, kotor dan zalim – dengan cara merosakkan imej pemimpin serta parti kita.
“Satu demi satu pemimpin kita disiasat dan didakwa dengan pertuduhan politik. Tidak cukup dengan fitnah jahat ke atas pemimpin, akaun parti juga dibekukan dan seboleh mungkin mereka mahu parti ini dilumpuhkan.
“Inilah dia politik kotor yang dimainkan oleh mereka. Pendakwaan terpilih bermotifkan politik dan penganiayaan,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Menara PGRM di ibu negara, hari ini (Ahad, 12 Mac 2023).
Sehubungan itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut serta Ketua Pembangkang mengingatkan bahawa penguasa yang zalim tidak akan bertahan lama, dan penindasan yang bersulam dendam kesumat itu bakal menjerat leher mereka sendiri.
Sambil memetik bagaimana Allah SWT menghancurkan kekuasaan Raja Jalut – seorang pemerintah yang zalim, angkuh dan menindas rakyat serta musuhnya, tersembam ditangan pemuda belasan tahun – Hamzah mengingatkan bahawa kezaliman akan dibalas dengan kehancuran.
Menurutnya pemuda belasan tahun itu adalah Nabi Daud AS dan kisahnya diriwayatkan dalam surah Al-Baqarah ayat 251 untuk dijadikan pedoman semua.
“Hari ini kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menzalimi kita. Menzalimi Bersatu dan Perikatan Nasional. Mereka memperalatkan agensi-agensi kerajaan untuk melakukan character assassination ke atas pemimpin serta parti kita.
“Mereka melakukan pendakwaan terpilih – yang bermotif politik serta penganiayaan. Tetapi yakinlah, pecayalah, kita di pihak yang benar
“Masakan tidak. Siasatan belum pun lengkap, kertas pertuduhan telah pun tersedia dan sengaja disebarkan untuk memalukan pemimpin kita – dan sudah tentu untuk memalukan parti kita.
“Malah ketika dalam mahkamah, sesudah pertuduhan telah pun dibacakan – apabila diminta dokumen lengkap oleh para peguambela kita, pihak mereka belum pun ada dokumen lengkap pertuduhan itu.
“Maknanya apa? Maknanya jelas, iaitu mereka hanya mahu melakukan pertuduhan politik bagi merosakkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional,” katanya.
Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata PH-BN mahu menutup kebobrokan sendiri dan mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan campuran dengan cara memfitnah dan menuduh kita.
“Tetapi rakyat tidak bodoh. Rakyat sedar yang mana intan – yang mana kaca. Rakyat tahu yang mana sekadar tin kosong – dan yang mana benar-benar layak memimpin negara.
“Buktinya sejak Khamis, berbakul-bakul kritikan, kutukan dan maki hamun rakyat ke atas Perdana Menteri Ke-10. Cuba kita lihat isu KWSP. Bukan cagaran yang rakyat mahukan, rakyat mahukan wang mereka.
“Sebab itu banyak cemuhan, kata nista dan kemarahan yang ditimbulkan oleh rakyat,” katanya.