PH, BN dah tadbir Melaka: PN belum (III – Berebut projek)

Kata penulis: Apa kata kali ini beri peluang kepada PN pula mentadbir Melaka. Cubalah untuk setahun lebih sahaja, bukan lama pun sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2023. Jika selepas itu tidak puas hati, buat keputusan baharu ketika PRU15. Tapi kalau OK, teruskan dengan PN.

Sambungan kisah…

Dalam artikel sebelum ini, penulis membangkitkan kenapa dua pemimpin UMNO berebut untuk menjadi Ketua Menteri (KM) Melaka. Adakah ia berkaitan projek mega RM43 bilion ‘Melaka Gateway’ yang dilancarkan Najib ketika beliau menjadi PM?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disokong Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan ADUN UMNO Sungai Udang yang juga bekas KM, Datuk Seri Idris Haron disokong Datuk Seri Najib Razak, bercakaran untuk menduduki kerusi KM.

Antara puncanya ialah perebutan bagi melaksanakan projek mega berbilion-bilion ringgit di pesisir pantai Melaka.

Di peringkat awal, dengan bantuan China, Najib pada Februari 2014 melancarkan projek Melaka Gateway disaksikan Idris sebagai KM pada ketika itu. Projek di luar pantai Melaka yang penuh kontroversi itu disebut-sebut sebagai yang terbesar di rantau ini, dan apabila siap, ia akan mengatasi Singapura.

Satu laporan menyebut bahawa selain pelabuhan laut dalam gergasi, Melaka Gateway direka bentuk untuk merangkumi daerah perniagaan, terminal pelayaran antarabangsa, banglo dengan marina peribadi, kondominium, hotel dan taman tema.

Projek bercita-cita tinggi di atas tanah seluas 546 hektar, yang merangkumi empat pulau buatan, akan mengubah situasi sejarah negeri yang membosankan itu kepada kuasa ekonomi yang moden, dan berkembang pesat.

Perdana Menteri China Li Keqiang juga pernah melawat projek itu pada 2015. Menjelang 2016, syarikat Malaysia yang kurang dikenali KAJ Development, pemaju induk projek itu, mendedahkan tiga rakan kongsi Chinanya – Kumpulan Pelabuhan Shenzhen Yantian, Kumpulan Pelabuhan Rizhao dan firma tenaga China milik kerajaan PowerChina.

Mengikut laporan itu Melaka Gateway hanyalah satu daripada banyak penjualan aset oleh Najib kepada China untuk menutup hutang 1MDB selepas berpuluh-puluh bilion ringgit disedut bersama rakan baiknya, Jho Low. Untuk menutup skandal 1MDB, Najib menjual aset strategik negara seperti loji kuasa, tanah di Bandar Malaysia dan projek seperti ECRL kepada China, sebagai pertukaran.

Susulan kekalahan Najib dan BN dalam Pilihan Raya Umum 2018 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan projek Melaka Gateway. Namun, dibenarkan semula setelah KAJ mengemukakan saman RM139 bilion pada Mac 2019.

PH mentadbir hanya 22 bulan sebelum tumbang. Serentak itu Sulaiman dilantik sebagai KM Melaka dan membatalkan terus Melaka Gateway pada November 2020 atas alasan pemaju gagal menyiapkan kerja-kerja penambakan selepas tiga tahun seperti disyaratkan dalam kontrak. Melaka Gateway menjadi projek gajah putih.

Menariknya beberapa bulan sebelum pembatalan itu, Sulaiman sudah memulakan projek mega yang lebih besar daripada Melaka Gateway – M-WEZ atau Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka bernilai RM100 bilion, lebih mahal daripada Melaka Gateway bernilai RM43 bilion.

Sebab itu antara yang disebut dalam manifesto BN antara lain adalah berkaitan M-WEZ. Malah, dalam satu laporan berita semalam, Rauf mempertahankan usaha menambak laut bagi projek itu.

Ada pihak menyifatkan M-WEZ itu Australia Gold Coast versi Malaysia, Sulaiman dengan bangga memperkenalkan projek yang melibatkan 10,117 hektar tanah dan mengambil masa sehingga 2023 untuk disiapkan.

Mengikut perancangannya M-WEZ akan menjadi hab maritim Malaysia dengan kononnya akan mempunyai bandar satelit digital, bandar baharu perdagangan dan pusat eko perniagaa selain pelabuhan pintar.

Ada pihak menyatakan secara realitinya, projek M-WEZ Sulaiman itu hanya versi kedua Melaka Gateway Idris, tetapi lebih besar bagi memastikan ‘pulangannya juga besar’. Hakikatnya, ia kemudian akan menjadi gajah putih.

Namun, yang penting bagi mereka ialah tebus guna tanah bagi kedua-dua projek mega itu. Bagi kes M-WEZ, tebus guna tanah akan melibatkan 33 kilometer sepanjang pantai dari Umbai ke Sungai Udang. Sebab itu, isu pasir menjadi antara punca kejatuhan kerajaan UMNO Melaka.

Untuk rekod, Idris ketika bertindak menarik balik sokongan terhadap Sulaiman bulan lalu mendedahkan monopoli, rasuah dan penipuan royalti pasir membabitkan Sulaiman dan kroninya. Malah dua bulan sebelum projek M-WEZ didedahkan kepada umum, Sulaiman memperkenalkan satu lagi projek tebus guna tanah membabitkan 180 hektar bernilai RM1.5 bilion.

Ada laporan mengatakan ianya bukan satu kebetulan apabila Idris menjatuhkan kerajaan Sulaiman tidak sampai sebulan setelah Najib, dalam satu temu bual dengan agensi berita Reuters, bahawa beliau akan kembali mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Bersambung…

Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

BERITA BERKAIT
POPULAR