
Permohonan Najib sekali lagi ditolak berhubung rayuan semakan semula.
Pakatan Harapan (PH) membidas pemimpin UMNO yang menyerang badan kehakiman hanya kerana tidak berpuas hati dalam perbicaraan kes dihadapi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang sedang berlangsung.
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH menyifatkan tindakan UMNO yang mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd sebagai tidak wajar walhal Najib sudah diberikan peluang untuk membela dirinya secara adil.
“Majlis Presiden PH sangat terkejut dan amat dukacita dengan siri kenyataan pimpinan tertinggi UMNO yang dilihat menyerang institusi kehakiman.
“Serangan ini semakin menjadi-jadi terutama apabila proses perbicaraan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Berhad hampir ke penghujungnya.
“Malah serangan ini khususnya dari kalangan penyokong UMNO dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat),” kata kenyataan itu.
Kenyataan PH itu hadir susulan kritikan dan kecaman pemimpin utama UMNO yang boleh dituduh sebagai satu penghinaan terhadap badan kehakiman negara.
Malah, pihak polis juga sudah menahan seorang pemilik akaun Facebook yang membuat ancaman terhadap Tengku Maimun dalam Facebook hari ini.
Dalam pada itu, majlis itu turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang memberikan jaminan untuk menyiasat dan mendakwa pihak melakukan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara.
Katanya, ini kerana ugutan untuk mencedera atau membunuh itu adalah kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, kenyataan itu turut menegaskan bahawa perbicaraan kes itu perlu dibenarkan untuk berjalan sehingga ke penghujung.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.