
DAP Pulau Pinang meminta DUN negeri itu dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak dengan PRU-15
Rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), boleh menyebabkan mereka terdedah kepada kehilangan pentadbiran Negeri Sembilan dan Selangor, menurut pendapat penganalisis politik.
Penganalisis juga memberi amaran, kawalan PH ke atas Pulau Pinang – yang kini menjadi kubu kuat – mungkin terhakis jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan daripada PRU-15 yang ditetapkan bulan depan.
Mereka berkata pakatan pembangkang akan menentang jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) secara sama rata pada PRU-15, tetapi tidak demikian jika PRN hanya diadakan tahun depan.
“Terbukti sebelum ini apabila PRN diadakan, PH kalah,” kata Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
“Jadi, mereka perlu berhati-hati dan membuat perkiraan dalam melihat peluang untuk menang.
“Ia akan menjadi perjuangan yang sukar untuk mengekalkan Negeri Sembilan,” katanya menurut MalayMail.
Beliau menjelaskan bahawa PH memerlukan peratusan keluar mengundi yang tinggi untuk mempertahankan negeri itu, tetapi jumlah itu biasanya rendah untuk PRN.
Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan bahawa tiga negeri yang masih di bawah kawalan gabungan itu tidak seharusnya membubarkan DUN mereka jika PRU-15 bertepatan dengan musim tengkujuh akhir tahun ini apabila banjir mungkin berlaku.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui perkara itu ketika mengumumkan pembubaran Parlimen semalam, namun menggesa negeri-negeri tetap mengikuti langkah mengadakan PRN dan PRU-15 serentak supaya tidak membebankan orang ramai atau menanggung kos tambahan.
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun pula memberi amaran bahawa Kerajaan Persekutuan baharu, yang boleh menjadikan UMNO lebih berkuasa, akan “menggunakan semua senjata mereka” di Pulau Pinang jika PRN diadakan secara berasingan.
Beliau berkata PKR mungkin menyaksikan pengurangan majoriti dalam PRN, manakala Amanah akan menjadi mangsa UMNO dan PAS.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Pulau Pinang akan kekal sebagai kubu kuat PH tanpa mengira bila PRN diadakan, sambil menyatakan bahawa gabungan itu kini memiliki semua, kecuali tujuh kerusi DUN.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan di Selangor dan Negeri Sembilan adalah berbeza.
“PH mungkin kehilangan dua negeri itu jika mereka tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU-15,” katanya.
Ismail Sabri semalam mengumumkan pembubaran Parlimen setelah menerima tekanan hebat partinya, terutama daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya mengadakan PRU-15 secepat mungkin, kerana keputusan kes rasuahnya dijangka diputuskan pada Disember.
Malam tadi, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO mencadangkan hari pengundian PRU-15 diadakan awal November, kononnya bagi mengelak banjir.
Malam tadi juga, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berasakan setelah UMNO dan BN menang dan menguasai kerajaan pada PRU-15 ini, maka mudah bagi mereka untuk menyelamatkan individu parti itu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.
“Kalau diadakan pilihan raya, waktu kita berhadapan dengan masalah dan juga banjir, peratusan keluar mengundi pasti terjejas… mungkin tak sampai 60 peratus pada kiraan mereka. Kalau begitu mungkin UMNO dan Barisan Nasional mudah menang.
“Dan kalau menang, maka dia menguasai kerajaan… Perdana Menteri daripada dia (UMNO)… mungkin dia sebab dia ada kuasa, dia boleh main apa sahaja peranan untuk menentukan mereka-mereka yang sekarang ini sudah berada dalam Kluster Mahkamah, terselamat,” katanya.,
Sebelum ini, ramai pihak mengkritik Ismail Sabri dan BN kerana merancang mengadakan PRU-15 tahun ini kerana ianya bertepatan dengan musim tengkujuh yang berlaku setiap hujung tahun hingga Mac tahun depan.
Tahun lepas, Malaysia mengalami salah satu banjir terburuk dalam rekod, menyebabkan kerosakan harta benda dianggarkan bernilai RM6.5 bilion dan menyebabkan lebih 71,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Banjir itu paling teruk melanda Selangor, negeri industri negara, di mana hampir separuh daripada 54 kematian berkaitan banjir berlaku di negeri itu.