PH, Ambiga tolak kerajaan bersih, kebebasan badan kehakiman?

Dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan peguam yang pro gabungan itu bahawa sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sah kerana meletakkan syarat, menunjukkan gabungan itu mahukan kewujudan sebuah kerajaan yang tidak bersih dan badan kehakimannya tidak bebas.

Malah dakwaan oleh dua pemimpin AMANAH – Datuk Mahfuz Omar dan Hanipa Maidin – serta peguam pro-PH Ambiga Sreenevasan sekadar menunjukkan kegagalan pakatan itu untuk mendapat sokongan bagi mengangkat ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) Kesembilan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju mengingatkan PH bahawa syarat sokongan yang dikenakan terhadap Ismail Sabri jika dilantik menjadi PM bertujuan mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih demi kebaikan rakyat dan negara.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan itu dengan syarat bagi membentuk kerajaan yang bersih – dengan memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Pemisahan kuasa, kebebasan kehakiman dan menegakkan sistem raja berperlembagaan. Dakwaan PH bahawa ini membatalkan sokongan PN terhadap Ismail Sabri, adalah tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ali Biju, mana-mana gabungan yang mengambil alih kuasa di Malaysia mesti mematuhi syarat-syarat ini, malah tiada pihak yang boleh menolaknya demi kebaikan rakyat dan masa depan negara.

“Adakah PH dan Ambiga sekarang ini menentang kewujudan kerajaan yang bersih dan kebebasan badan kehakiman?,” soalnya.

Katanya adalah salah untuk mengatakan sokongan Ahli Parlimen PN kepada Ismail Sabri adalah bersyarat.

Sebaliknya kata beliau, Surat Akuan Berkanun (SD) Ahli Parlimen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyokong Ismail Sabri tidak menyatakan apa-apa syarat, dan mereka membuat pengesahan semula pada pertemuan dengan baginda semalam.

Beliau juga melihat dakwaan yang dibuat pemimpin PH dan peguam pro gabungan itu sebagai menunjukkan sikap putus asa mereka apabila gagal mengumpul sokongan bagi membolehkan pakatan itu menuntut jawatan PM.

“Mahfuz Omar, Hanipa Maidin dan Ambiga Sreenevasan benar-benar mengabaikan maksud Artikel 43 (4), iaitu bahawa sokongan untuk Perdana Menteri diukur berdasarkan pendirian ahli Dewan Rakyat secara individu. Dan pendirian ini telah diungkapkan dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ali Biju hairan apabila Mahfuz, Hanipa, dan Ambiga yang merupakan mantan Presiden Peguam, telah mengambil pendirian ekstrem dan tidak logik ini.

Beliau berkata orang ramai menjangkakan bahawa PH akan menyambut baik dan menyokong pemerintahan yang bersih dan kebebasan badan kehakiman, sebaliknya mereka menunjukkan sikap berlainan.

BERITA BERKAIT
POPULAR