Pesan Abah kepada rakyat Melaka

Semoga rakyat Melaka bersama-sama turun dan undi Perikatan Nasional pada 20 November 2021 ini agar Melaka kembali bangkit gemilang.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara dan saudari pengundi Melaka yang dikasihi sekalian. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat.

Pilihan raya negeri Melaka akan diadakan pada 20 November 2021 dan pilihan raya ini adalah penting kerana ia akan menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pilihan yang dibuat oleh saudara dan saudari di peti undi nanti akan menentukan dasar, amalan dan corak pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibentuk.

Perikatan Nasional menerusi Ikrar Untuk Melaka, iaitu komitmen yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional untuk rakyat di negeri Melaka, berikrar untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti dan prihatin rakyat.

Sekiranya mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri, fokus utama Kerajaan Perikatan Nasional ialah untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri Melaka, memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat menerusi dasar dan program prihatin rakyat, merancakkan sektor pelancongan, memperbaiki infrastruktur negeri, melestarikan alam sekitar dan mewujudkan sebuah pentadbiran yang bersih dan berintegriti.

Semua calon Perikatan Nasional yang dipilih dalam kalangan mereka yang berkelayakan dan berintegriti juga telah menandatangani Akujanji Antirasuah, iaitu sebuah pernyataan komitmen dan iltizam untuk menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengalaman yang lalu mengajar kita bahawa amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin yang tidak bertanggungjawab menyebabkan hasil mahsul negeri dibolot oleh segelintir pihak dan pentadbiran kerajaan negeri menjadi pincang.

Rakyat tidak menerima manfaat kekayaan khazanah negeri yang sepatutnya mereka nikmati.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan saya mempunyai rekod sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti dan beramanah, teguh memegang prinsip antirasuah dan amat prihatin kepada nasib rakyat. Inilah corak pentadbiran kerajaan negeri yang ingin Perikatan Nasional tawarkan kepada rakyat di negeri Melaka.

Saya berharap agar saudara dan saudari akan memberikan sokongan padu kepada Perikatan Nasional dengan mengundi calon Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November nanti.

Saya doakan dengan undi saudara dan saudari ini, Perikatan Nasional akan dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu untuk memacu Melaka bangkit sebagai sebuah negeri yang gemilang.

Sekian, terima kasih.

Salam hormat,

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional.

BERITA BERKAIT
POPULAR