
Perhimpunan Agung UMNO 2022.
Usul yang dibawa untuk tidak membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ditolak dua perwakilan UMNO dari Wilayah Persekutuan dan Johor semasa Perhimpunan Agung (PAU) semalam.
Tindakan membawa usul itu dibantah dan tidak dipersetujui kerana ia dilihat cuba menyekat ruang demokrasi dalam parti, selain bimbang bakal menyebabkan parti lebih dibenci rakyat selepas ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique semasa membahaskan usul tersebut berkata pendirian menolak usul tersebut bagi mengelak orang Melayu terus meninggalkan parti dan bakal memberi persepsi negatif kepada parti.
“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada parti, malah kepada 60 peratus pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.
“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” katanya semasa membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini.
Beliau berkata, belum terlambat untuk UMNO beri nafas baharu dan segar kepada partinya.
“Mungkin kita semua termasuk saya sendiri sudah membuat banyak kesilapan sebelum ini tetapi takkanlah kita nak biarkan kesilapan ini berterusan jika kita sedar dan tahu akibatnya?
“Kami cuma mengharapkan agar pimpinan di atas juga mempunyai iltizam dan niat yang sama untuk memartabatkan semula parti.
“UMNO Wilayah mohon menyokong, kecuali usul tambahan, (iaitu) usul nombor lapan yang dibuat secara mengejut semalam, iaitu usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Perwakilan UMNO Johor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menegaskan usul tersebut bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.
Tegasnya, usul itu sepatutnya dibawa secara berasingan, bukan secara serentak dengan usul Ucapan Dasar Presiden.
“Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin UMNO sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya.
“Merujuk Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan, saya dapati usul yang dibawa semalam tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU kali ini.
“Ia perlu dimurnikan mengikut perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Jika tidak pasti, silalah rujuk sendiri,” katanya.
Semalam, cadangan usul tambahan itu dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden, namun mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.
Cadangan dikemukakan dalam perbahasan secara tertutup itu membuatkan Dewan Merdeka di WTC Kuala Lumpur kecoh seketika, dengan ribuan perwakilan UMNO menyambutnya dengan reaksi bercampur-campur.
Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial semalam, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.
Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan lain dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.