
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Terkejut dengan jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengatakan masih menunggu permohonan daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang berkait agihan peruntukan, Perikatan Nasional (PN) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya rasa tidak perlu berbuat demikian kerana bila kerajaan pusat sudah buat keputusan untuk memberikan peruntukan tersebut, sepatutnya ia dilaksanakan tanpa sebarang syarat,” kata Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang bakal bertemu Anwar bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Kawasan Kota Bharu, hari ini.
Bekas menteri itu berkata, kerajaan tidak sewajarnya mempersulitkan proses agihan peruntukan itu demi kepentingan rakyat.
“Awalnya perdana menteri meminta saya bertemu Fadillah untuk membincangkan perkara tersebut dan ia telah dilaksanakan pada Ramadan lalu. Pada asasnya perkara itu telah dijanjikan oleh kerajaan pusat yang ada sekarang ini termasuk di dalam manifesto pilihan raya mereka sendiri iaitu memberikan peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen tanpa sebarang syarat.
“Jika mereka mahu meletakkan syarat, sila kemukakan dan kita tengoklah sama ada boleh dipenuhi atau sebaliknya. Namun saya menyatakan tidak perlu buat permohonan atau apa-apa syarat. Pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen sepatutnya menjadi amalan yang diteruskan daripada kerajaan terdahulu,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan perlu lebih prihatin terhadap keperluan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang memandangkan sudah masuk bulan kelima bagi tahun ini.
“Sekarang ini sudah masuk bulan kelima untuk tahun ini dan pada Oktober nanti akan ada pembentangan bajet baharu. Jadi bajet sedia ada perlu digunakan dengan sewajarnya,” katanya.