Pertuduhan Syed Saddiq: Keluarkan RM1 juta tanpa kebenaran, salah guna RM120 ribu

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas dua pertuduhan hari ini di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto kredit Twitter

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini didakwa atas dua pertuduhan melibatkan wang sejumlah RM1 juta dan RM120,000 milik sayap pemuda Bersatu, Armada yang dikeluarkan tanpa mendapat kebenaran parti tersebut.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Pertuduhan pertama, Syed Saddiq selaku Ketua Armada ketika itu dituduh dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac 2020.

Atas pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi satu satu lagi pertuduhan, beliau didakwa salah guna sumbangan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM120,000 pada April 2018.

Kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya melakukan kesalahan itu yang mana dana tersebut dikutip melalui Maybank Milik Armada Bersatu Enterprise.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamik Berhad, Jalan Pandan, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Kontroversi kes melibatkan Ahli Parlimen Muar itu tercetus pada Mac 2020, ia bermula dengan satu laporan polis dibuat beliau sendiri berhubung kehilangan wang di rumahnya.

Syed Saddiq merupakan Ketua Armada ketika itu sebelum digugurkan keahlian kerana keengganan duduk di bangku kerajaan malah duduk di bangku pembangkang ketika persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei.

Syed Saddiq dihadapkan di Mahkamah Sesyen Rasuah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi tadi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.

POPULAR