Pertembungan Bersatu-UMNO akan berlaku pada PRU15: Muhyiddin

Tidak ada cara lain lagi bagi mengelak pertembungan Bersatu dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ini kerana katanya, UMNO telah membuat keputusan untuk tidak mahu bersama Bersatu lagi sebagai parti gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Sehubungan itu katanya, Bersatu sudah bersedia dengan strategi dan cara tersendiri untuk mendekati rakyat berdasarkan pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perhimpunan Agung UMNO sudah buat keputusan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Secara asasnya mereka akan berlawan dengan kita pada PRU15.

“Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu… kalau kita terpaksa bertembung dalam PRU15, kita tiada cara lain untuk mengelakkannya. Itulah realiti politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama barisan pemimpin Bersatu di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan rakan gabungan PN di Sabah bagi berdepan PRU15, bekas Perdana Menteri itu yang juga Pengerusi PN menyerahkan kepada perbincangan antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Adalah elok mandat diberikan kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan rakan-rakan untuk berbincang.

“Bagi saya Sabah ini ada sedikit kelainan dengan Semenanjung dan perkara itu akan menjadi indikator supaya akan ada satu keputusan baik untuk semua,” katanya.

Semalam, Zahid, sekali lagi mengumumkan bahawa UMNO akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada PRU14 lalu.

Dalam perkongsian di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahun lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR