Pertembungan banyak penjuru, UMNO akan untung sekali lagi seperti di Melaka?

Jika tidak kerana yakin dengan kemampuan mengulangi kemenangan bergaya di Melaka, mustahil UMNO berani mengambil langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

UMNO sangat yakin rakyat akan menyokong dan mengundi mereka pada PRN Johor sama seperti di Melaka, oleh sebab itu pemimpin atasan mereka begitu berani untuk berdepan satu lagi PRN, ditambah pula parti pembangkang yang sudah berpecah dan tidak lagi mendapat kepercayaan penyokong mereka sendiri.

PRN Johor bukan lagi medan untuk UMNO menguji kekuatan mereka tetapi adalah batu loncatan untuk kumpulan Kluster Mahkamah mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan harapan dapat terlepas daripada semua pertuduhan dihadapi mereka.

Bagaimanapun, adakah UMNO akan mendapat untung sekali lagi sama yang berlaku di Melaka pada PRN Johor kali ini?

Atas kertas, UMNO dilihat mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding parti lawan yang lain. Parti pembangkang yang berpecah dan gagal membentuk satu khemah besar antara faktor yang bakal menyumbang kepada kemenangan mereka.

Berbeza dengan senario semasa di Melaka, UMNO hanya berdepan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dan waktu itu tidak ada parti Pejuang, MUDA dan Warisan yang masuk bertanding dalam PRN.

Prestasi parti pembangkang pada PRN Melaka boleh dikatakan amat memalukan dan lebih parah apabila PKR yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tewas teruk di semua kerusi yang ditandingi mereka.

Perlu diingat, perpecahan dalam PH ketika PRN Melaka tidak lah ketara seperti yang berlaku di Johor kali ini apabila isu lambang pun mereka gagal mencapai persefahaman antara satu sama lain.

Di Johor, PKR memilih untuk menggunakan lambang sendiri sementara DAP dan Amanah pula memilih lambang rasmi PH.

Untuk rekod, perpecahan dikalangan parti pembangkang di Melaka berpunca daripada Anwar kerana tindakannya mengambil calon lompat parti daripada UMNO.

Hasilnya, penyokong pembangkang sendiri menolak PH di Melaka sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk dialami PKR dan Amanah khususnya.

Seorang penganalisis politik, Azmi Hassan dipetik berkata PRN Johor akan menunjukkan perpecahan undi yang lebih ketara berbanding di Melaka memandangkan lebih banyak parti baharu yang akan masuk bertanding.

Azmi memberi contoh senario melibatkan parti serpihan Pejuang yang juga sudah mengumumkan keputusan untuk masuk bertanding pada PRN Johor kali ini yang dilihat akan menyumbang lebih banyak undi orang Melayu berpecah dan ia akan hanya menguntungkan UMNO nanti.

“Dalam hal ini juga, perlu diingat bahawa parti Pejuang merupakan kumpulan Bersatu yang pernah berada dalam PH manakala Perikatan Nasional (PN) juga akan rugi kerana dalam Pejuang mempunyai bekas pemimpin Bersatu.

“Jadi, di sini ia akan berlaku perpecahan undi dalam kalangan pembangkang manakala BN tidak terlibat dengan apa yang sedang berlaku.

“Setakat ini, momentum kemenangan kekal kepada Barisan Nasional (BN) kerana undi UMNO tidak berpecah. Namun, undian yang pergi kepada UMNO bukan sebab UMNO kuat, tetapi kerana perpecahan undi yang berlaku dalam pembangkang,” kata beliau.

PRN Johor pada 12 Mac ini bakal menyaksikan empat pertembungan besar iatu daripada BN, PH, Perikatan Nasional, Warisan, MUDA dan Pejuang.

Bagaimanapun nasib parti baharu seperti Pejuang, MUDA dan Warisan yang bergerak solo pada PRN Johor hanya akan merugikan mereka pada PRN Johor kali ini.

“Sebab mereka (Pejuang) menggunakan ikon Tun Mahathir Mohamad untuk dibawa ke Johor.

“Perlu diingat, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai isu sensitif di negeri itu dan ini bukan peringkat nasional. Jadi, Pejuang sebenarnya perlu mengubah strategi jika ingin mencapai kemenangan pada PRN Johor,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid pula menyifatkan UMNO mempunyai kelebihan kerana kejayaan mereka memanipulasi kerjasama sebelum ini dengan PAS dan Bersatu sehingga menguntungkan mereka dalam mengekalkan kemenangan bergaya seperti yang berlaku di Melaka.

Kata beliau, isu perpecahan tiga parti Melayu itu amat meletihkan orang-orang Melayu yang mahu ketiga-tiga parti ini boleh bermuafakat dan membentuk gagasan bersama.

“Perpecahan orang Melayu menyebabkan keputusan PRU 2018 menyaksikan kerajaan PH dengan 95 peratus sokongan bukan Melayu, berbanding 20 peratus Melayu.

“PRN Johor dan seterusnya menjelang PRU-15 mungkin membuka lembaran baharu dari segi cabaran dan defisit kontemporari yang boleh menyebabkan strategi perkongsian kuasa berubah mengikut kepentingan semasa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR