
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, terus memimpin parti.
Pemimpin UMNO Johor yang lantang bersuara, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pemimpin yang bercadang merebut jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, adalah pengecut.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu menegaskan kedua-dua jawatan berkenaan tidak perlu dipertandingkan dalam keadaan sekarang jika hanya nanti akan membawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika UMNO dalam proses pemulihan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ini kerana katanya, jika disorot sejarah penubuhan 70 tahun UMNO hanya empat kali saja berlaku pertandingan untuk jawatan Presiden di mana Tunku Abdul Rahman vs Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn vs Sulaiman Palestin (1978); Mahathir vs Ku Li (1987) dan Ahmad Zahid vs 4 pencabar (2018).
“Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan Presiden pastinya berlaku perpecahan dalam UMNO. Ahmad Fuad keluar dari UMNO dan tubuhkan PAS selepas kalah kepada Tunku. Begitu juga Sulaiman Palestin tinggalkan parti selepas tumpas kepada Hussein Onn.
“Manakala Ku Li pun menjadi punca terbesar perpecahan dalam UMNO apabila dia buat parti Semangat 46 dan bawa keluar ramai pemimpin dan ahli parti bersamanya kerana kecewa tumbang kepada Mahathir pada 1987.
“Pada 2018, selepas tewas, walaupun KJ (Khairy Jamaluddin) tak keluar dari UMNO namun dia dilihat sedikit menjauhkan diri daripada arus perdana parti dan lebih selesa buat hal sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini (3 Januari 2023).
Nur Jazlan juga mempersoalkan adakah ahli sanggup melihat lagi UMNO akan berpecah dan berpuak-puak atau dua pasukan seperti 40 tahun lalu, sedangkan perpecahan itu mewujudkan PAS, Semangat 46, PKR dan Bersatu.
Beliau berpendapat UMNO tidak mampu menerima perpecahan lagi kerana ia akan menyebabkan jangka hayat UMNO tidak akan lama.
“Dan punca utama kepincangan dan kekalahan UMNO pada tahun 2018 dulu kerana dua individu – (Tun Dr) Mahathir (Mohamad dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) yang sebelumnya berseteru tapi kemudiannya berpakat untuk jatuhkan BN (Barisan Nasional).
“Akhirnya Anwar dapat juga jadi PM dan UMNO jadi mangsa dengan hanya tinggal 30 kerusi Parlimen. Namun kombinasi kerajaan BN dan PH sudah tentu menyakitkan hati kering Dr Mahathir, tapi ahli UMNO mesti menerima bahawa kombinasi baru inilah yang rakyat majoriti inginkan walaupun bukan yang majoriti ahli mahukan,” katanya.
Nur Jazlan mendakwa Zahid yang dipilih sebagai Presiden UMNO pada 2018 akhirnya berjaya memulihkan semula UMNO sehingga parti itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan setelah Pakatan Harapan tumbang pada 2019.
Katanya setelah UMNO kalah dan gagal lagi menjadi kerajaan pada PRU-14, kebijaksanaan Zahid dalam membuat keputusan selepas PRU-15 menyaksikan parti itu terbukti masih relevan apabila menjadi penentu kepada penubuhan kerajaan sekarang ini.
“Kalau nak buat pertandingan pun, kita nak angkat siapa jadi Presiden baru? Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas UMNO kali pada PRU-14 dulu?
“Kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi PM9 atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah UMNO kepada parti lawan?
“Atau kita nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat Presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU-15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal.
“Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga,” katanya.