
Persiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai penyokong dalam parti yang setia dengan beliau sebelum ini.
Perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO bagi membincangkan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Memetik Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan pemakluman daripada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas yang sepatutnya diadakan pada hari sama ditangguhkan.
“Hari Sabtu ini Mesyuarat MT Khas sepatutnya diadakan tetapi kita dapat mesej dah ditangguhkan jadi kita tunggu Setiausaha Agung akan umumkan tarikh baru.
“Sebelum Mesyuarat MT akan datang akan bincang balik. Selalunya sebelum Mesyuarat MT akan ada (pertemuan) Top Five (lima pemimpin tertinggi) kemudian ada (mesyuarat) biro politik, selepas itu malam (mesyuarat) MT,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di Kuala Lumpur, malam ini.
Sebelum ini Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata perjumpaan pemimpin tertinggi itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober.
Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan tiga Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.
Sebelum ini, Ismail Sabri berkata perbincangan antara lima pemimpin tertinggi UMNO bagi menentukan tarikh PRU-15dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya tempoh untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO.
Perdana Menteri dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di Amerika Syarikat pada 21 September ini.