
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini (7 Januari 2023).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan penarikan sokongan gabungan itu serta UMNO terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan perjuangan baharu telah bermula.
Tanpa menjelaskan maksud perjuangan baharu itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkenaan menjelaskan bahawa setiap yang bermula pasti akan berakhir.
“Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhiranya! Perjuangan baru bermula dan perjalanan masih jauh dan panjang,” katanya dalam kenyataan ringkas selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini (7 Januari 2023).
Beliau berkata pertemuan itu bagi menjelaskan kepada Zahid dan Mohamad berhubung pergolakan politik Sabah sejak beberapa hari lalu, di mana kemuncaknya ialah penarikan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji.
Semalam, Bung Moktar dalam sidang media mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.
Menurutnya BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.
Sementara itu, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata Hajiji masih sah sebagai KM Sabah dengan memperoleh majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Dalam satu kenyataan hari ini, Masidi juga berkata Hajiji dan semua bekas ADUN Bersatu meninggalkan parti itu pada Disember 2022 dan kini menjadi ahli GRS, dan merupakan parti politik terbesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Oleh itu tidak ada merit kepada dakwaan Bung Moktar bahawa Hajiji tidak mempunyai locus standi untuk menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya menurut Borneopost.
Masidi menjawab kenyataan media Bung Moktar yang cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan mengenai kesahihan Hajiji. Dinyatakan bahawa Hajiji tidak layak menjadi Ketua Menteri di bawah Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.
Perkara 6(7) yang menyebut:
“Bagi maksud Perkara (3) Perkara ini, di mana suatu parti politik telah menang majoriti kerusi-kerusi Dewan Undangan yang dipilih dalam suatu pilihan raya umum, ketua parti politik tersebut yang adalah ahli Dewan Undangan, hendaklah menjadi ahli Dewan Undangan yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.”
Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan:
“Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik menjadi Ketua Menteri seseorang ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan, …”.
“Apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam Dewan (‘DUN’), pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti. “Majoriti’ bagi maksud Perkara 6(7) bermakna lebih 50 peratus kerusi dalam DUN,” kata Masidi.
Beliau menambah takrifan ‘majoriti’ ini telah dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Tan Sri Musa Aman lwn Tun Juhar & Anor [2019] 10 MLJ 329 di mana pada muka surat 345 dalam perenggan [28] dan [29] Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menyatakan bahawa ‘majoriti’ tidak bermaksud ‘kerusi terbanyak’ tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.
“Datuk Yew Jen Kie seterusnya berkata Perkara 6(7) tidak akan terpakai melainkan sebuah parti politik berjaya memenangi lebih 50 peratus kerusi DUN berikutan pilihan raya negeri yang tidak berlaku pada 2018. Pada 2018 tiada satu pun parti memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan oleh itu Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah tidak terpakai.
“Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Datuk Yew Jen Kie dalam Tan Sri Musa Aman lwn Tun Juhar & Anor [2020] 3 MLJ 49 di muka surat 56, perenggan [17],” kata Masidi dalam kenyataan itu.
Beliau menjelaskan bahawa pada 2020 tiada satu parti politik pun memenangi lebih 50 peratus daripada 73 kerusi yang dipertandingkan. Oleh itu, berikutan tafsiran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Perkara 6(7), Tuan Yang Utama mula-mula memerhatikan bahawa tidak ada parti politik yang memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan dengan itu mengetepikan Perkara 6(7) sebagai tidak terpakai.
“Tuan Yang Terutama kemudiannya menggunakan kuasanya dengan cermat dan betul di bawah Perkara 6(3) dan melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Oleh itu, Masidi berkata Hajiji secara perlembagaan dan sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah.
“Perlu diperhatikan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah dirangka untuk menggalakkan kepastian dan kestabilan politik di Sabah. Adalah menjadi asas kepada perintah perlembagaan Sabah bahawa Tuan Yang Terutama tidak diheret ke dalam permainan politik, pertikaian atau perebutan kuasa,” tambahnya.
Justeru, Masidi merumuskan bahawa amalan membawa akuan berkanun yang ditandatangani ke Istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan ADUN terhadap kerajaan adalah tidak diperlukan dan harus dihentikan.