
Dua saksi perjanjian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perjanjian yang dimerterai dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyokongnya menjadi Perdana Menteri disaksikan oleh dua individu bersama beberapa pemimpin utama parti yang lain.
Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu semasa tandatangan perjanjian dengan syarat-syarat yang ditetapkan bagi menyokong Ismail Sabri disaksikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini.
“Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri (Ismail Sabri), disaksikan oleh Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Menurutnya lagi, draf perjanjian tersebut juga digubal oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Jadi, mungkin Tok Guru boleh memeriksa kembali dengan Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnyalah.
“Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja,” katanya lagi.
Muhyiddin menjelaskan berhubung isu perjanjian yang termaktub antara Ismail Sabri dengan PN, ia termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan beberapa perkara lain yahg termasuk dalam perjanjian tersebut.
Terdahulu, manta Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin ketika menjadi PM, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil mengesahkan wujud perjanjian berkenaan.
Katanya walaupun ada beberapa pihak menafikan Ismail Sabri dan Muhyiddin memeterai sebarang perjanjian mengenai jawatan TPM, persefahaman itu memang wujud.
Muhyiddin berkata, selain jawatan TPM, kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh bilangan jawatan dalam jemaah Menteri, khususnya kuota parti.
“Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar Bersatu, maka wajarlah kuota itu diisi oleh Ahli Parlimen Bersatu.
“Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada Perdana Menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya sebelum ini.