
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tidak mengetahui berhubung perjanjian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terkejut dengan pendedahan dokumen perjanjian antara Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN).
Khaled berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak mengetahui berhubung kewujudan perjanjian tersebut dan ia tidak pernah dibawa berbincang dalam mesyuarat; perjanjian itu antaranya melibatkan lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan tarikh pilihan raya umum (PRU).
“Setahu saya tidak pernah diberitahu (dalam MT). Dalam ‘Top Five’, biro politik pun setahu saya tiada. Tapi tidak pasti jika saya tidak hadir pada waktu itu,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Menurut Khaled, jalan terbaik sekarang ini adalah Ismail Sabri perlu membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 dengan segera bagi menyelesaikan isu dihadapi rakyat.
“Lantiklah siapa pun, tak ada gunanya. Apakah Timbalan Perdana Menteri baharu boleh selesaikan masalah negara. Seelok-eloknya, adakan PRU supaya rakyat boleh memilih semula kerajaan.
“Bagilah mandat semula kepada rakyat dalam pilihan raya. Bentuk kerajaan stabil dan selesaikan masalah negara ketika ini,” katanya lagi.
Seorang lagi Ahli MT, Datuk Seri Armand Azha Abu Hanifah turut mengesahkan perkara itu di luar pengetahuan UMNO dan menyifatkan perjanjian persefahaman antara Ismail Sabri dan PN itu tidak membabitkan parti tersebut.
Katanya, difahamkan perjanjian itu hanya membabitkan Ahli Parlimen penyokong kerajaan saja dan tidak membabitkan parti.
“Berdasarkan salinan perjanjian yang tular itu, saya melihat ia sebagai dokumen perjanjian biasa kerana tiada cop pengesahan pejabat peguam atau pesuruhajaya sumpah.
“Bermakna perjanjian itu tiada kekuatan, sebaliknya perjanjian biasa. Ini berbeza dengan surat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada PM yang ada ciri kesahihan yang daripada peguam dan cop pengesahan,” katanya dipetik laporan sama.
Terdahulu, tular dalam media sosial ketika ini dokumen berhubung perjanjian yang dimerterai antara Ismail Sabri dengan Bersatu dan PAS.
Dokumen yang tular dalam platform media sosial Facebook mengesahkan terdapat terma berhubung jawatan TPM, disamping perlu mengadakan PRU-15 selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
“Pihak-pihak bersetuju jawatan Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepada Ahli Parlimen yang ditetapkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala jumlah anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang diperuntukkan kepada parti-parti dikekalkan.
“Hanya perubahan portfolio akan ditentukan melalui perbincangan bersama,” menurut dokumen yang tular tersebut.
Ia sekaligus membuktikan kenyataan mantan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini berhubung kewujudan perjanjian tersebut adalah sahih, ia walaupun terdapat pihak-pihak yang cuba mempertikaikannya.
Perjanjian tersebut juga ditandatangani dua saksi iaitu Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Selain perjanjian untuk melantik TPM, turut dipersetujui adalah berhubung isu pembubaran Parlimen.
“Perdana Menteri yang baharu dilantik juga hendaklah memberikan akujanji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan pihak-pihak sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Julai 2022 atau mana-mana tarikh yang dipersetujui bersama,” menurut dokumen itu lagi.