Peringatan kepada Zahid, majoriti MP BN kekal pendirian ‘No Anwar, No DAP’

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan peringatan berhubung pendirian 'No Anwar, No DAP'.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan peringatan semua Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP’, ia susulan tindak tanduk beliau kebelakangan ini senada dengan cikgunya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peringatan itu disuarakan Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menegaskan MP BN masih berpegang teguh dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO lalu iaitu meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Majoriti ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO untuk menyokong kerajaan sampai PRU. Parlimen dibubarkan ‘No’ Anwar ‘No’ DAP,” katanya dipetik Utusan Online.

Semalam, Zahid menerusi kenyataan Biro Politik UMNO memberikan tempoh 14 hari kepada Kerajaan PN untuk membuka sidang Parlimen atau berdepan tindakan balas.

Bagaimanapun, pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz membidas Zahid supaya tidak memandai-mandai membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang terlebih dahulu dengan MP BN.

“Saya tengok Zahid tak panggil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), dia sendiri sahaja tak bincang dengan kita.

“Ini tak betul 14 hari tak boleh berlaku memang satu desakan yang tak boleh berlaku ingat panggil lah Ahli-Ahli Parlimen jangan pandai-pandai sendiri sahaja,” katanya kepada Agenda Daily semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keputusan yang diperkenan oleh Baginda selepas memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan.

POPULAR