
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemimpin parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sudah dimaklumkan berhubung perbincangan tidak rasmi dengan parti politik lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata perkara itu dimaklumkan semasa mesyuarat berlangsung semalam dan membuat ketetapan untuk terus mengukuhkan kerjasama gabungan tersebut bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Mesyuarat majlis tertinggi mengambil maklum tentang perbincangan tidak rasmi saya dengan pimpinan parti-parti politik yang lain.
“Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen PN dalam persiapan menghadapi PRU-15 dan mendepani isu- isu semasa yang dihadapi rakyat amnya,” katanya yang juga presiden Bersatu dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat semalam turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Star Datuk Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dan wakil komponen lain.
Sebelum ini Bersatu telah memberi mandat kepada Muhyiddin untuk berbincang dengan parti luar lain bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 akan datang.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin turut mengumumkan Dominic dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Turut diumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor juga berkuat kuasa serta-merta.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.